Bagaimana Sekumpulan Pasukan Kecil Melawan China dengan Hanya Bot Kayu dan Pisau

- Advertisement -

Pasukan kecil itu mempunyai misi berisiko: Berlayar ke kawasan atol (pulau cincin) karang yang dipertikaikan di Laut China Selatan, potong penghalang yang menghalang nelayan Filipina dan keluar sebelum kapal China menyedarinya.

Pada minggu lalu, pasukan China mengapungkan rentetan pelampung sepanjang hampir 1,000 kaki di sekitar Scarborough Shoal, kawasan terumbu yang terletak kira-kira 120 batu nautika dari Filipina yang telah menjadi sumber ketegangan maritim antara kedua-dua negara tersebut selama bertahun-tahun. Manila membantah, menyatakan “pelampung penghalang” itu menghalang nelayan negara itu.

Kemudian, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. membuat keputusan: Penghalang itu perlu dihilangkan.

Pegawai keselamatan mula merangka rancangan yang mudah tetapi berani. Mereka akan cuba mengelak daripada empat kapal Penjaga Pantai China di kawasan itu tanpa menarik perhatian dan memotongnya, kata Komodor Jay Tarriela, jurucakap Penjaga Pantai Filipina.

Maka, beberapa hari selepas penghalang itu didirikan, sekumpulan kecil pasukan penjaga pantai menaiki bot kayu nelayan dan berlepas. Mereka tidak memakai pakaian seragam dalam usaha untuk menyamar sebagai nelayan.

Mereka berjaya mendekati penghalang di sebelah tenggara terumbu tanpa dikesan. Seorang penyelam terjun dan berenang di bawah permukaan air ke tali yang diletakkan di salah satu hujung pelampung. Sebuah video yang dikeluarkan oleh Penjaga Pantai Filipina pada hari Isnin menunjukkan dia memotong tali itu dengan pisau. Pasukan itu kemudiannya menarik sauh yang mengikat penghalang itu — dan segera beredar.

Pelampung itu telah dihanyutkan, tidak lagi menghalang laluan masuk ke atol karang, kata Tarriela.

Ia adalah tindakan kecil yang berani walaupun tidak mempunyai kesan praktikal untuk nelayan Filipina. Mereka masih tidak boleh memasuki pulau karang, yang dijaga oleh kapal China pada setiap masa.

Begitu pun, ini adalah tindakan menunjukkan tentangan yang kuat, menyerlahkan usaha baharu oleh Filipina untuk menentang tuntutan China di Laut China Selatan.

Tujuannya adalah “untuk menunjukkan kepada rakyat Filipina, untuk menunjukkan kepada dunia, bahawa kami sekarang akan berdiri menentang pengganas,” kata Tarriela. “Ini adalah mesej utama daripada apa yang kami lakukan.”

Pemimpin negara itu sebelumnya, bekas Presiden Rodrigo Duterte, memperkecilkan tindakan China di Laut China Selatan, dan beberapa anggota pentadbirannya menggunakan kepada jurang besar daripada aspek kuasa dan sumber antara Beijing dan Manila sebagai alasan untuk memperbaiki hubungan dengan China. Di bawah Marcos pula, yang memegang jawatan 15 bulan lalu, strategi berbeza digunakan: menamakan dan memalukan China secara secara terbuka sebagai taktiknya—dan, kadang kala, lebih lagi.

Pada hari Rabu lalu, Penjaga Pantai China menafikan Filipina telah memotong penghalang, sebaliknya mengatakan pihak China sendiri yang telah mengeluarkannya. Ia dipasang, kata penjaga pantai itu, selepas sebuah kapal milikan Jabatan Perikanan Filipina merempuh masuk ke lagun di tengah Scarborough Shoal, yang dinafikan oleh Filipina.

China menuntut banyak kawasan di Laut China Selatan, termasuk kawasan yang jauh dari pantainya yang terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara lain di rantau itu, yang menimbulkan ketegangan dengan negara-negara terlibat. Untuk menegakkan tuntutannya, Beijing telah, dalam dekad lalu, membina pulau buatan di perairan itu dan mengubahnya menjadi pangkalan tentera lengkap dengan peluru berpandu, landasan kapal terbang, dan radar.

Penjaga pantai dan ketumbukan armada nelayannya—yang terbesar di dunia—meronda di serata lokasi, membayangi kapal negara-negara lawan dan mengerumuni tempat-tempat yang terlibat dalam pertikaian. Negara-negara seperti Filipina tidak mampu menyainginya.

Tatkala kerajaan terdahulu mengutamakan kerjasama dengan China, Marcos telah mengukuhkan pakatan keselamatan negaranya dengan AS. Pada bulan Februari, kedua-dua pihak mengumumkan penambahan besar ke atas perjanjian kerjasama pertahanan, secara efektif melanjutkan akses AS ke sembilan pangkalan tentera Filipina, daripada lima sebelumnya.

Langkah ke arah hubungan yang lebih rapat dengan Washington telah menjengkelkan China. Sebuah editorial dalam akhbar kerajaan China Daily minggu ini mengatakan insiden terbaharu di Laut China Selatan adalah “bukti jelas bahawa dengan dorongan dan sokongan yang diterima daripada Washington, Manila berasa diberi kuasa untuk sekali lagi mencipta gelombang di Laut China Selatan”.

Scarborough Shoal sering disebut sebagai potensi titik pertembungan di Laut China Selatan. China merebutnya dari Filipina pada tahun 2012 setelah pengepungan yang panjang. Pertembungan di sana antara pasukan Filipina dan China bakal meningkat, dengan potensi penglibatan AS. Beberapa pakar keselamatan mengatakan Beijing boleh mencuba membina dan mengubukan Scarborough Shoal seperti yang dilakukan di bahagian Laut China Selatan yang lain, sesuatu yang akan memberikannya jangkauan dan kawalan yang lebih besar.

Terumbu segitiga itu mengelilingi lagun yang kaya dengan sumber alam. Sebelum 2012, nelayan Filipina secara rutin memasuki lagun itu, yang hanya boleh diakses melalui bukaan kecil, untuk memancing dan untuk berlindung daripada cuaca buruk. Sejak China merampasnya, nelayan Filipina tidak dapat masuk, walaupun mereka pada umumnya, boleh memancing di kawasan sekitar berhampiran terumbu itu.

Kapal Pengawal Pantai China sentiasa ada, dengan sekurang-kurangnya satu mengawal bukaan ke lagun. Yang lain akan meronda di kawasan sekitar, membayangi bot Pengawal Pantai dan Jabatan Perikanan Filipina untuk menjauhkan mereka, biasanya pada jarak 8 atau 10 batu nautika dari terumbu, kata Tarriela.

Selama beberapa bulan, pihak berkuasa Filipina telah mencuba untuk mendekatinya. “Kami hanya berusaha untuk terus menekan—setiap kali kami berjaya mencapai suatu titik tertentu,” katanya.

Mereka mencapai kemajuan minggu lalu. Pada 20 September, sebuah kapal daripada Jabatan Perikanan dengan anak kapal penjaga pantai di atasnya, berjaya mendekati kira-kira 950 kaki ke terumbu. Tiada anak kapal rasmi Filipina yang berjaya sedekat itu semenjak 2012—menandakan ini sebagai sebuah pencapaian, kata Tarriela.

Mereka berjaya melakukannya, katanya, disebabkan adanya wartawan di atas kapal. Dengan kamera diarahkan kepada mereka, Penjaga Pantai China bersikap kurang agresif, katanya.

“Mereka biasanya akan segera menghapuskan sebarang tentangan,” katanya lagi. Kali ini, “mereka cuba untuk menghalang pada jarak tertentu, tetapi disebabkan was-was untuk mendekati, kami dapat mengelak dan melepasi mereka.”

Membenarkan wartawan ikut serta dalam rondaan adalah sebahagian daripada strategi baharu Filipina tahun ini: menyiarkan tindakan China—secara kerap dan terbuka. Filipina telah mengeluarkan pernyataan terperinci mengenai apa yang mereka anggap sebagai tindak-tanduk mengancam China, seperti pada bulan Februari apabila pasukan China memancarkan laser hijau ke atas sebuah kapal Filipina. Bulan lepas pula, angkatan tentera Filipina telah mengeluarkan video Penjaga Pantai China menembak mereka dengan meriam air.

Ketika kapal Jabatan Perikanan Filipina dengan wartawan di atasnya berada berhampiran Scarborough Shoal, anak kapal mereka menyedari warga China dengan bot terapung memasang pelampung penghalang. Pelampung itu berada di bukaan ke lagun, dijangkar pada dua sisi. Nelayan Filipina memberitahu pegawai bahawa sekatan seperti itu biasanya didirikan apabila pihak China melihat jumlah kapal nelayan Filipina yang banyak di kawasan itu. Terdapat lebih kurang 50 buah kapal pada waktu itu.

Walaupun tindakan Filipina ini menunjukkan mereka sedang memikirkan cara baharu untuk melaksanakan haknya di Laut China Selatan, ada juga yang memberi amaran risiko tindakan tersebut.

“Kita masih perlu memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya China memilih untuk melaksanakan kelebihan keupayaan tindak balasnya,” kata Julio S. Amador III, ketua eksekutif firma rundingan Amador Research Services, yang mengkhususkan dalam isu-isu strategik melibatkan Filipina. “Apakah objektif akhir, dan bagaimana Filipina akan mengangani tindak balas lanjut daripada pihak China.”

Namun, kata Tarriela, misi terkini yang dilaksanakan oleh Penjaga Pantai Filipina adalah tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan taktik China.

“China menggunakan laser ketenteraan. China melakukan banyak tindak-tanduk berbahaya. China menggunakan meriam air. Mereka telah melakukan banyak tindakan provokatif dan agresif yang meningkatkan ketegangan,” kata Tarriela. “Adakah mereka marah kerana kami memotong tali sauh mereka?”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat