CYBERJAYA – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan harapan agar gabungan itu diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap kawasan Parlimen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Beliau berkata, keadaan pada PRN Sabah lalu menyaksikan terdapat kawasan Parlimen di mana tiada satu pun kerusi DUN ditandingi oleh calon BN, sekali gus menjejaskan semangat ahli dan jentera parti di kawasan terbabit.
“Keadaan ini boleh melemahkan semangat ahli dan jentera Umno-BN di kawasan berkenaan kerana mereka tidak mempunyai peranan ketika pilihan raya berlangsung.
“Apabila tidak diberi peluang, ada yang mungkin kecewa dan akhirnya memilih meninggalkan parti dan ini sesuatu yang tidak baik,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO di Dewan Terbuka Membakut, Sabah.
Beliau mencadangkan agar dalam mana-mana kawasan Parlimen yang mempunyai dua atau tiga kerusi DUN, sekurang-kurangnya satu daripadanya diberikan kepada BN bagi membolehkan ahli akar umbi memainkan peranan dan merasa terlibat dalam proses pilihan raya.
“Kalau dalam satu Parlimen ada dua atau tiga kerusi DUN, sekurang-kurangnya satu kerusi diberi kepada BN untuk bertanding. Ini boleh menyuntik semangat dan menenangkan hati ahli-ahli parti di kawasan terbabit,” tambahnya.
Menurut Mohamad, perkara ini akan dibawa dan dibincangkan di peringkat tertinggi melalui Jawatankuasa Perunding UMNO dan setiausaha-setiausaha agung parti komponen BN.
“Kita serahkan dulu kepada jawatankuasa perunding dan setiausaha-setiausaha agung parti komponen. Tetapi, ini pesanan saya kepada setiausaha agung, jangan abaikan hasrat kita ini.
“Sekurang-kurangnya satu kerusi dalam setiap Parlimen mesti ada wakil BN yang bertanding di kawasan itu,” tegas beliau.



