Ejen Ali The Movie 2 Raih RM34.2 Juta, buktikan kuasa filem tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 2 Jun 2025 – Filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), mencipta fenomena luar biasa apabila berjaya mencatat kutipan memberangsangkan sebanyak RM34.2 juta dalam hanya 11 hari tayangan. Angka ini bukan sahaja memecahkan rekod kutipan filem pertama Ejen Ali yang ditayangkan pada tahun 2019, malah menjadikan EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan terpantas dalam sejarah Malaysia.

Prestasi cemerlang ini turut meletakkan EATM2 di tangga teratas carta box office, menewaskan beberapa filem antarabangsa berprofil tinggi yang ditayangkan pada bulan Mei seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan versi aksi nyata Lilo & Stitch. Ini adalah bukti nyata bahawa filem animasi tempatan kini mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan naskhah global yang jauh lebih besar dari segi bajet dan promosi.

Sehingga kini, lebih daripada 2 juta penonton telah membanjiri pawagam seluruh negara, menjadikan EATM2 sebagai filem pilihan utama sepanjang musim cuti sekolah yang bermula pada 29 Mei lalu. Bukan sekadar tontonan sekali lalu, ramai penonton mengakui bahawa mereka telah menonton EATM2 lebih daripada sekali, malah ada yang membawa seluruh keluarga kembali untuk mengulangi pengalaman hebat menonton di layar perak.

Menurut pengarah filem, Encik Usamah Zaid Yasin, kejayaan ini adalah hasil kerja keras dan dedikasi seluruh pasukan produksi yang ingin menyajikan satu naskhah animasi yang bukan sahaja menepati jangkaan peminat, tetapi juga mengangkat martabat animasi Malaysia ke tahap antarabangsa.

“Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi baharu Ejen Ali. Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami,” ujar beliau dengan penuh rasa syukur.

Sementara itu, Puan Nini Yusof, Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, menyatakan bahawa angka RM34.2 juta ini bukan sekadar angka keuntungan semata-mata, tetapi simbol kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi tempatan.

“Kami sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa ini. Ia menunjukkan bahawa filem animasi tempatan bukan lagi hanya untuk tontonan kanak-kanak, tetapi mampu mengangkat nilai kekeluargaan dan nasionalisme yang menyentuh pelbagai peringkat usia.”

Fenomena EATM2 turut mendapat perhatian ikon hiburan tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang menonton filem ini bersama dua anaknya, Afwa dan Aafiyah. Dalam satu hantaran di TikTok, beliau memuji kandungan filem yang sarat dengan mesej positif seperti disiplin, keberanian dan keyakinan diri.

“Parents bolehlah bawa seisi keluarga menonton bersama di musim cuti sekolah ni!” katanya dalam nada menggalakkan.

Dalam pada itu, pihak pawagam juga melaporkan peningkatan jumlah penonton yang luar biasa, dengan sesetengah lokasi mencatat kehadiran hampir penuh untuk setiap tayangan. Malah, pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan seperti pertandingan mewarna, sesi bersama maskot Ejen Ali, serta penjualan barangan eksklusif – menambahkan lagi daya tarikan EATM2 sebagai aktiviti riadah keluarga.

Kejayaan besar ini bukan sahaja membuktikan potensi animasi tempatan dari sudut penceritaan dan teknikal, tetapi juga menandakan kebangkitan industri filem Malaysia yang semakin mendapat tempat di hati penonton. Dengan sokongan yang berterusan, tidak mustahil EATM2 bakal melakar sejarah lebih besar – mungkin mencapai kutipan RM50 juta dalam minggu-minggu mendatang.

Justeru, kepada yang masih belum menonton, inilah masa terbaik untuk menyertai jutaan penonton lain dalam misi animasi paling hebat tahun ini. Sokong filem tempatan dan teruskan menyebarkan semangat #ejenalithemovie2, #AniMY dan #sapotlokal di media sosial!

Ejen Ali The Movie 2 masih ditayangkan di pawagam seluruh negara – jangan ketinggalan!

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat