UMNO Negeri Sembilan sedia jadi pembangkang daripada terus pertahan kesilapan MB – Jalaluddin

KUALA LUMPUR,— UMNO Negeri Sembilan menegaskan parti itu sedia menjadi pembangkang daripada terus berada dalam kerajaan negeri sekiranya hanya untuk melihat kesilapan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, dalam mengurus krisis adat dan perlembagaan yang sedang berlaku.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pendirian itu dibuat kerana UMNO tidak boleh menggadaikan prinsip serta maruah parti semata-mata untuk kekal dalam kerajaan.

“UMNO Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada duduk di dalam kerajaan dan melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh YAB MB,” katanya dalam ucapan sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTC, hari ini.

Jalaluddin berkata, tindakan UMNO Negeri Sembilan bukan didorong sikap tamak kuasa atau perebutan jawatan, sebaliknya berpunca daripada kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin yang didakwa gagal mengurus krisis adat dan perlembagaan negeri dengan tertib.

“Krisis hari ini hanya timbul setelah UMNO hilang keyakinan terhadap Menteri Besar apabila krisis adat dan perlembagaan ini gagal diurus dengan tertib,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa UMNO Negeri Sembilan mahu melakukan gerakan “tebuk atap” bagi mengambil alih kerajaan negeri.

Katanya, sekiranya UMNO mahu berbuat demikian, peluang itu sudah terbuka selepas Pilihan Raya Negeri lalu, namun parti memilih untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jika UMNO mahu tebuk atap, UMNO telah lakukan lama dahulu.

“Kalau UMNO mahu berkuasa, peluang itu sudah terhidang selepas PRN, tapi UMNO memilih bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Jalaluddin berkata, UMNO Negeri Sembilan kini memberi tumpuan untuk memperkukuh akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16.

Beliau turut berharap kepimpinan pusat benar-benar mendengar pandangan akar umbi dalam menentukan hala tuju kerjasama politik parti selepas ini.

“Matlamat utama yang harus difikirkan adalah UMNO memenangi kerusi sebanyak mungkin dan kembali menjadi dominan.

“Jangan gadaikan masa depan UMNO hanya kerana menjaga hati mana-mana pihak,” katanya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat