KUALA LUMPUR,— Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa beliau telah mengingatkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berhubung konflik adat yang berlaku di negeri itu sejak November tahun lalu, namun perkara tersebut tidak diendahkan.
Jalaluddin berkata, beliau bukan sahaja pernah bercakap secara peribadi dengan Aminuddin mengenai konflik berkenaan, malah turut membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat pada 12 November 2025.
“Saya secara peribadi telah bercakap dengan YAB MB berkaitan konflik yang berlaku, saya pernah bawa dalam mesyuarat, pada 12 November 2025 tapi tiada tindakan yang diambil,” katanya dalam ucapan sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTC, hari ini.
Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan krisis adat dan perlembagaan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan bukan tercetus secara mengejut, sebaliknya telah mempunyai tanda-tanda awal yang sepatutnya ditangani lebih awal oleh kerajaan negeri.
Jalaluddin berkata, UMNO Negeri Sembilan tidak pernah meminta kerajaan negeri mencampuri urusan adat, namun pada masa sama kerajaan tidak boleh mengambil sikap berdiam diri apabila konflik membabitkan institusi penting negeri semakin meruncing.
Beliau berkata, Menteri Besar sepatutnya memainkan peranan sebagai jambatan bagi mencari jalan penyelesaian dan menyatukan semula institusi adat, bukannya membiarkan keadaan berlarutan sehingga mencetuskan krisis politik yang lebih besar.
“UMNO bukan minta kerajaan untuk campur tangan, tapi UMNO berpendapat kerajaan tidak boleh berdiam diri. MB perlu menjadi jambatan untuk menyatukan institusi adat ini,” katanya.
Jalaluddin turut mendakwa Aminuddin mengambil pendirian bertindak secara sendiri dalam mengurus konflik berkenaan.
Malah katanya, beberapa kali pihak Undang memanggil Menteri Besar untuk berbincang, namun Aminuddin didakwa tidak mahu berjumpa.
“Tapi YAB MB mengambil pendirian bertindak secara sendiri. Beberapa kali Undang panggil untuk berbincang YAB MB tidak mahu berjumpa,” katanya lagi.
Dalam ucapan sama, Jalaluddin berkata krisis politik yang berlaku di Negeri Sembilan bermula antara Undang Yang Empat dan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Namun katanya, UMNO cukup memahami garis pemisah antara badan eksekutif dan institusi adat.
Beliau menegaskan, prinsip UMNO dalam isu itu jelas, iaitu menghormati kedudukan institusi adat dan tidak mencampuri urusan yang menjadi bidang kuasa institusi berkenaan.
Bagaimanapun, Jalaluddin berkata UMNO marah apabila Menteri Besar didakwa mencampuri urusan adat, gagal menangani krisis dengan baik dan mengambil mudah perkara yang berlaku sehingga keadaan menjadi lebih parah.
“Sebab itu UMNO marah apabila YAB MB mencampuri urusan adat, gagal menangani krisis dengan baik, dan mengambil mudah perkara yang berlaku sehingga menyebabkan pemecatan Yamtuan berlaku,” katanya.
Jalaluddin turut mengaitkan krisis tersebut dengan kedudukan institusi adat dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan yang menurutnya berbeza daripada negeri lain.
Beliau berkata, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mempunyai kedudukan tersendiri dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk sebagai sebahagian daripada maksud “Raja” dalam konteks tertentu perlembagaan negeri.
Menurutnya, di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar tidak memerintah secara berseorangan kerana Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut mempunyai peranan dalam sistem adat serta perlembagaan negeri.
“Secara ringkasnya Raja di Negeri Sembilan ini tidak berseorangan. Yamtuan Besar, Undang dan Tunku Besar Tampin, bersama-sama memerintah Negeri Sembilan,” katanya.
Jalaluddin berkata, hak dan keistimewaan institusi adat itu menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk dijaga dengan baik.
Beliau menegaskan perkara itu penting kerana sebarang tindakan yang dilihat mengetepikan institusi adat bukan sahaja mencetuskan pertikaian pentadbiran, malah boleh menjejaskan kestabilan politik dan keabsahan kerajaan negeri.
Dalam ucapannya, Jalaluddin turut menyenaraikan kronologi krisis yang berlaku di Negeri Sembilan, bermula dengan kenyataan Menteri Besar pada 17 April berhubung pemberhentian Undang Sungai Ujong, diikuti sidang media Undang Yang Empat pada 19 April yang mengumumkan pemecatan DYMM Yamtuan.
Beliau turut merujuk perkembangan pada 20 April apabila pihak Undang menafikan Dewan Keadilan dan Undang sebulat suara bersetuju memecat Undang Sungai Ujong, selain kenyataan Undang bahawa Menteri Besar tidak layak menerajui kerajaan negeri.
Jalaluddin juga menyebut tindakan kerajaan negeri pada 27 April memanggil semula pegawai yang ditugaskan di Balai Sungai Ujong untuk berkhidmat di Dewan Keadilan dan Undang, sebelum kerajaan negeri pada 29 April mengarahkan Undang Luak Sungai Ujong mengosongkan balai berkenaan.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut mempertahankan tindakan UMNO Negeri Sembilan meminta sidang Dewan Undangan Negeri ditangguhkan.
Katanya, permintaan itu dibuat bukan kerana UMNO mahu mencetuskan krisis baharu, sebaliknya bagi menjaga imej DYMM Yang di-Pertuan Besar daripada menjadi bahan perdebatan umum.
“UMNO minta tangguh dewan kerana hendak menjaga imej DYMM Yamtuan dari menjadi perdebatan umum,” katanya.
Beliau berkata, UMNO mengambil serius kenyataan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin pada 22 April yang meminta sidang ditangguhkan dan memaklumkan mereka tidak akan hadir ke sesi pembukaan Dewan.
Menurut Jalaluddin, ketidakhadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menyebabkan sidang Dewan ketika itu dipertikaikan keabsahannya.
“Ketidakhadiran Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin menjadikan sidang tempoh hari dipertikaikan keabsahannya.
“Kekosongan kerusi Undang di dalam Dewan mencemarkan institusi adat dan memalukan DYMM Yamtuan,” katanya.
Jalaluddin pada masa sama menolak dakwaan kononnya tindakan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin bermotifkan gerakan “tebuk atap”.
Beliau berkata, jika UMNO mahu melakukan gerakan sedemikian, parti itu boleh berbuat demikian lebih awal kerana peluang untuk berkuasa sudah terbuka selepas Pilihan Raya Negeri lalu.
Namun katanya, UMNO memilih untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika UMNO mahu tebuk atap, UMNO telah lakukan lama dahulu. Rakan-rakan ADUN di Negeri Sembilan boleh sahkan, tidak ada sebarang perbincangan awal untuk tebuk atap.
“Kalau UMNO mahu berkuasa, peluang itu sudah terhidang selepas PRN, tapi UMNO memilih bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sebaliknya, Jalaluddin berkata krisis hari ini hanya timbul selepas UMNO hilang keyakinan terhadap Menteri Besar kerana krisis adat dan perlembagaan gagal diurus dengan tertib.
“Krisis hari ini hanya timbul setelah UMNO hilang keyakinan terhadap Menteri Besar apabila krisis adat dan perlembagaan ini gagal diurus dengan tertib,” katanya.
Beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan kini berpegang kepada prinsip bahawa parti itu lebih rela menjadi pembangkang daripada terus berada dalam kerajaan tetapi melihat kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh Menteri Besar.
“UMNO Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada duduk di dalam kerajaan dan melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh YAB MB,” katanya.
Jalaluddin turut menegaskan tindakan UMNO Negeri Sembilan bukan kerana tamak kuasa atau mengejar jawatan.
Sebaliknya, beliau berkata tindakan itu dibuat kerana UMNO berpegang kepada prinsip, maruah dan janji kepada institusi yang menjadi tiang seri negeri.
“UMNO Negeri Sembilan tidak bertindak kerana tamak.
“UMNO Negeri Sembilan tidak bertindak kerana jawatan.
“UMNO Negeri Sembilan bertindak kerana ada prinsip yang tidak boleh kita gadaikan,” katanya.
Dalam nada tegas, Jalaluddin turut memberi isyarat bahawa masa depan UMNO Negeri Sembilan tidak boleh digadaikan semata-mata untuk menjaga hati mana-mana pihak.
Katanya, UMNO Negeri Sembilan kini memberi tumpuan untuk memperkukuh akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16, selain berharap kepimpinan pusat benar-benar mendengar pandangan akar umbi.
“Jangan gadaikan masa depan UMNO hanya kerana menjaga hati mana-mana pihak,” katanya.



