Jangan gadaikan masa depan UMNO kerana jaga hati pihak lain – Jalaluddin

KUALA LUMPUR,— Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengingatkan kepimpinan parti supaya tidak menggadaikan masa depan UMNO semata-mata untuk menjaga hati mana-mana pihak.

Beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan kini memberi tumpuan untuk memperkukuhkan akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16, dengan matlamat utama mengembalikan kekuatan parti.

“Berkenaan kerjasama bersama pihak mana pada PRU-16, UMNO Negeri Sembilan amat berharap agar kepimpinan pusat benar-benar mendengar pandangan akar umbi.

“Matlamat utama yang harus difikirkan adalah UMNO memenangi kerusi sebanyak mungkin dan kembali menjadi dominan.

“Jangan gadaikan masa depan UMNO hanya kerana menjaga hati mana-mana pihak,” katanya dalam ucapan sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTC, hari ini.

Kenyataan itu dilihat sebagai mesej jelas UMNO Negeri Sembilan kepada kepimpinan pusat parti susulan krisis politik negeri berkenaan yang menyaksikan hubungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan semakin tegang.

Dalam ucapan sama, Jalaluddin menegaskan UMNO Negeri Sembilan tidak bertindak kerana tamak kuasa atau jawatan, sebaliknya kerana prinsip yang tidak boleh digadaikan.

Katanya, tindakan UMNO Negeri Sembilan dalam krisis berkenaan dibuat atas dasar maruah parti serta tanggungjawab terhadap agama, bangsa, tanah air, Raja-Raja dan institusi adat negeri.

“UMNO Negeri Sembilan tidak bertindak kerana tamak.

“UMNO Negeri Sembilan tidak bertindak kerana jawatan.

“UMNO Negeri Sembilan tidak bertindak kerana mahu merosakkan momentum parti.

“UMNO Negeri Sembilan bertindak kerana ada prinsip yang tidak boleh kita gadaikan,” katanya.

Jalaluddin berkata, salah satu cabaran utama apabila UMNO tidak lagi dominan dan perlu bekerjasama dengan parti lain ialah memastikan prinsip perjuangan parti terus dipertahankan.

Menurut beliau, tiga teras perjuangan UMNO iaitu agama, bangsa dan tanah air kekal menjadi pasak utama parti meskipun landskap politik negara sudah berubah.

Beliau berkata, dalam konteks kerjasama BN dan PH menerusi Kerajaan Perpaduan, terdapat asas tertentu yang menjadi “garis merah”, termasuk soal kedaulatan Perlembagaan, kedudukan Islam, hak Bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Perjanjian ini adalah ibarat garis merah yang ditetapkan oleh kedua-dua parti, dan jika mana-mana pihak melanggar garis merah tersebut, ianya dilihat mencabar perjanjian ini,” katanya.

Jalaluddin berkata, krisis politik di Negeri Sembilan tercetus apabila sebelah pihak didakwa melanggar garis merah tersebut dan mengambil mudah perkara itu seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Menurutnya, isu penting yang sepatutnya dibawa berbincang serta dipikul sebagai tanggungjawab bersama antara BN dan PH sebaliknya dibuat secara sendiri sehingga mencalarkan imej UMNO.

“Inilah antara titik tolak berlakunya krisis politik di Negeri Sembilan, apabila sebelah pihak melanggar garis merah yang ditetapkan, dan mengambil mudah perkara itu seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya.

Beliau turut menegaskan, UMNO Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada terus berada dalam kerajaan dan hanya melihat kesilapan dilakukan oleh Menteri Besar.

Katanya, UMNO Negeri Sembilan akan terus membawa pendirian akar umbi dan mempertahankan prinsip parti selagi beliau diberi kepercayaan menerajui badan perhubungan negeri.

“Selagi mana YAB Presiden memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui UMNO Negeri Sembilan, saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat