KUALA LUMPUR – Naib Presiden Bersatu Datuk Radzi Jidin menyangkal mencadangkan namanya sendiri untuk menjadi calon Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ahli Parlimen Putrajaya itu malah menganggap dakwaan itu sebagai fitnah di bulan Ramadan.
“Ketika sedang membuat persediaan perbahasan Rang Undang-undang petang ini, saya dimaklumkan terdapat satu fitnah yang sedang tersebar.
“Ini merujuk kepada tuduhan bahawa ketika bertemu Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang,di Rusila pada 18 Februari 2026, saya telah menawarkan diri sebagai calon Ketua Pembangkang mewakili Bersatu.
“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak pernah menyebut nama saya sebagai calon Ketua Pembangkang mewakili Bersatu dalam pertemuan tersebut.
“Fakta atau kebenaran ini boleh disemak dengan sahabat-sahabat yang turut hadir dalam pertemuan itu, iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Syahir Sulaiman, dan Datuk Razali Idris. Bahkan boleh disahkan juga dengan Tan Sri Tuan Guru Haji Hadi Awang sendiri.
“Di bulan Ramadan yang mulia ini, saya doakan agar mereka yang menyebarkan fitnah ini insaf,” katanya di Facebook.



