KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertegas tidak akan merayu kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk diterima semula sebagai ahli parti itu.
Menurut Hishammuddin penggantungan beliau sebelum ini dibuat tanpa prosedur maka adalah tidak adil untuk dirinya mengikut prosedur untuk diterima semula.
“Semasa saya digantung, tidak ikut prosedur. Bila ada permintaan untuk saya diterima semula, kena ikut prosedur pula. Usul agar penggantungan saya ditarik balik bukan datang daripada saya.
“Ia (permintaan) datang daripada Umno Bahagian Sembrong sendiri. Maka adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk memberi jawapan dan memberi penjelasan kepada mereka, bukan kepada saya. Walaupun keputusan besar begitu, ia sedikit pun tidak menjejaskan kedudukan saya.
“Saya tahu di mana saya berdiri dan rakyat di Sembrong juga tahu siapa saya. Alhamdulillah, Sembrong kekal harmoni dan kesetiaan saya terhadap perjuangan Umno tidak pernah berubah. Yang berbeza hanyalah cara, proses dan prinsip dilaksanakan terhadap individu-individu tertentu.
“Syukur saya terus diberi layanan yang baik dari seluruh masyarakat, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, termasuklah daripada akar umbi Umno sendiri. Saya tetap diundang ke majlis-majlis dan diterima seperti sebahagian daripada mereka. Hubungan saya dengan rakyat tidak pernah bergantung kepada jawatan, mahupun status dan keahlian,” jelas Hishammuddin dalam video yang dimuat naik di Facebooknya pada Selasa.
Bekas Naib Presiden Umno itu berkata lagi, semalam MKT telah pun membuat keputusan mereka dan katanya keputusan itu mencerminkan siapa mereka, bukan siapa kita.
“Mereka telah membuat keputusan dan sekarang saya teruskan langkah ke hadapan dengan bermaruah dan berprinsip.
“Inilah perjuangan nilai dan makna. Rayuan bukan penentu kesetiaan saya. Prinsip di dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti,” tegas bekas Menteri Kabinet itu lagi.
Hishammuddin menegaskan, bagi perjuangan beliau selama ini, ia bukan sekadar untuk menjadi ahli kembali.
Sebaliknya kata beliau, ini tentang memegang kepada nilai dan prinsip bukan dirinya sahaja, tetapi juga pemimpin-pemimpin Umno terdahulu.
“Ini yang sukar untuk saya kompromi.
“2 tahun lalu, saya digantung melalui hanya laporan media pada malam 27 Januari 2023. Tiga hari selepas itu sahaja, baru saya dapat surat rasmi yang hanya menyatakan saya digantung atas alasan melanggar fasa-fasa dalam Perlembagaan Umno. Tidak ada sebarang penjelasan atau perincian lanjut.
“Dan hingga ke hari ini, saya masih tidak dimaklumkan secara rasmi dan bertulis mengenai sebarang kesalahan spesifik yang saya didakwa telah dilakukan. Saya tidak dipanggil untuk berikan penjelasan atau membela diri. Saya tidak dibicara di hadapan jawatankuasa disiplin dan ada yang bertanya kepada saya mengapa saya tidak merayu.
“Saya tidak merayu kerana saya tahu saya tidak diadili sebaiknya dan saya enggan menggadaikan prinsip yang saya pegang.
“Malah ada yang kata saya terhegeh-hegeh dan bodoh sombong. Penting untuk saya nyatakan di sini bahawa ini bukan soal keahlian. Ini bagi saya bukan soal kedudukan.
“Ini bukan soal jawatan. Ini soal prinsip, integriti, keikhlasan dan keadilan yang selama ini saya pegang di dalam Umno. Ya, merayu dengan menulis surat memang ramai yang ingat senang,” tegas beliau.