Ahli Parlimen Subang bakal letak jawatan?

- Advertisement -

CYBERJAYA, – Teka-teki masa depan Ahli Parlimen Subang, YB Wong Chen, kembali hangat diperkatakan apabila satu sidang media mengejut bersama beberapa pimpinan kanan PKR, termasuk Timbalan Presiden merangkap Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli, dijadualkan berlangsung pagi esok di Pusat Khidmat Parlimen Subang.

Difahamkan, sidang media tersebut bakal menyentuh isu-isu dalaman parti dan kemungkinan langkah drastik oleh YB Wong Chen, termasuk desas-desus peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Wong Chen sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas memuat naik kenyataan di media sosial yang secara terbuka mengkritik prestasi perlahan agenda reformasi kerajaan Madani, menyifatkannya sebagai “terlalu sedikit yang dicapai, terlalu lambat dilaksanakan.”

Kenyataan beliau itu mencetuskan ketegangan terbuka di peringkat akar umbi.

Pada 10 Jun lalu, PKR Cabang Subang melalui Timbalan Ketuanya, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon, menyatakan bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Wong Chen atas beberapa sebab termasuk ketiadaan beliau dalam mesyuarat cabang sejak pemilihan 2022, serta kegagalan membentuk struktur bersama Pakatan Harapan peringkat Parlimen.

“Jika YB Wong Chen merasakan perjuangan ini tidak lagi seiring, maka satu keputusan yang jelas dan berprinsip perlu dibuat untuk berundur secara terhormat,” tegas Dr Wan Hasifi dalam satu kenyataan.

Gesaan itu turut menimbulkan reaksi pelbagai, dengan sesetengah penyokong mempertahankan Wong Chen sebagai antara wakil rakyat paling telus dan konsisten dalam menyuarakan reformasi, manakala sebahagian lain menganggap beliau semakin menjauh daripada perjuangan kolektif parti.

Berehat atau Berundur?

Krisis ini dilihat meruncing apabila Wong Chen mengambil keputusan berehat dua minggu di luar negara, dan menyatakan keperluan untuk “merenung masa depan politiknya”. Beliau sebelum ini menulis bahawa selepas 15 tahun bersama parti, beliau gusar jika perjuangan itu tidak lagi membawa perubahan bermakna kepada rakyat.

Menurut sumber dalaman, rundingan tertutup telah diadakan untuk mencari jalan damai antara beliau dan pimpinan parti, namun tiada pengesahan rasmi sama ada persefahaman telah dicapai.

“Beliau kecewa kerana banyak prinsip asas reformasi telah dikompromi. Tapi Wong Chen bukan jenis yang buat gimik. Kalau dia undur, dia akan buat dengan bermaruah,” kata seorang pemimpin akar umbi.

Tanda Tanya Sidang Media Esok

Poster sidang media tidak menyatakan tajuk khusus, hanya menyebut penyertaan beberapa Ahli Parlimen PKR yang akan “bersama Wong Chen”. Ini mencetuskan spekulasi bahawa keputusan besar mungkin diumumkan.

Apa pun keputusan yang bakal diumumkan esok, ia pasti akan memberi kesan besar terhadap dinamika dalaman PKR, hala tuju reformasi, dan persepsi rakyat terhadap kesatuan dalam kerajaan perpaduan.

Kemas kini terkini akan menyusul selepas sidang media esok.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat