Wan Saiful puji keberanian Pemuda Umno, sokong payung besar Bersatu, Pas dan Umno

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jajaran yang lebih selesa sebenarnya ialah untuk Umno, Bersatu dan Pas duduk dalam saf yang sama.

Hal ini katanya memandangkan, banyak persamaan ideologi antara tiga parti ini sambil menegaskan, muafakat sebenar mesti gabungkan semua.

“Saya anggap langkah Pemuda Umno mengadakan konvensyen khas sebagai berani. Saya yakin ramai penyokong-penyokong Umno yang sebenarnya tidak selesa berada dalam kerajaan yang didominasi oleh Pakatan Harapan.

“Ini pengalaman yang sama dengan sewaktu Bersatu duduk dalam Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14. Perbezaan ideologi amat ketara. Pada masa itu semua pihak memaksa diri untuk hanya berkata perkara positif mengenai kerajaan PH1.0 sebagai topeng menutup masalah sebenar. Tetapi akhirnya BERSATU membuat keputusan berani dan betul untuk keluar PH.

“Jajaran yang lebih selesa sebenarnya ialah untuk Umno, Bersatu dan Pas duduk dalam saf yang sama. Banyak persamaan ideologi antara tiga parti ini.

“Malahan, Bersatu sendiri pernah bersetuju menyertai Muafakat Nasional, dan ada surat yang ditandatangani oleh Presiden Umno dan Presiden Pas menjemput Bersatu masuk MN,” kata bekas ahli MPT Bersatu itu.

Menurut Wan Saiful, aemangat yang sama perlu dihidupkan semula agar wujud satu payung besar parti-parti politik konservatif bertunjangkan falsafah kanan pertengahan.

“Berilah nama apa sekalipun. Muafakat Nasional. Payung Besar. Perikatan Nasional. Atau apa jua. Yang penting semangatnya sama. Saya harap agenda ini akan berjaya.

“Sementara itu, berhati-hatilah dengan suara-suara yang mahu pecahkan Bersatu dan Pas dengan cara meninggalkan PN.

“Kelompok trojan horse berideologi PKR dalam Bersatu pasti seronok jika perpecahan itu berlaku. Mereka sedang mencucuk kiri kanan depan belakang mengajak orang Bersatu marah kepada Pas.

“Mereka juga mencipta “redline” yang bukan-bukan untuk menyukarkan hubungan Bersatu-Pas.

“Pas juga perlu menangani suara-suara yang mahu perpecahan atau mahu meninggalkan PN.

“Sebab jika salah satu daripada tiga parti tiada dalam gabungan, maka muafakat yang sebenar masih tidak dicapai,” saran beliau.

Untuk rekod, Pemuda Umno akan menganjurkan konvensyen khas sebagai platform untuk membincang, meneliti serta membuat keputusan mengenai hala tuju parti itu khususnya berkaitan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan pada 3 Januari depan.

Ketua Pemuda Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penganjuran konvensyen khas itu susulan kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin untuk memohon maaf seperti yang dituntut sebelum ini oleh Pemuda Umno Selangor dalam tempoh 24 jam, sekali gus menimbulkan kekecewaan dalam kalangan akar umbi parti.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat