Tiada perubahan sempadan kawasan pilihan raya di Semenanjung dan Sabah cuma Sarawak – SPR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah berikutan lat tempoh lapan tahun masih berkuat kuasa.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan kajian semula persempadanan untuk Sarawak.

Menurut beliau, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu.

“Atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi negeri-negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada tahun 2018. Manakala bagi Sarawak dan Sabah pula adalah masing-masing pada tahun 2015 dan tahun 2017,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, timbul cadangan dan desakan pelbagai pihak agar SPR melakukan persempadanan semula kawasan Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Ia berikutan dakwaan berlaku penambahan jumlah pengundi yang tidak sama rata di sesuatu kawasan Parlimen.

Sebagai contoh, Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor baru-baru ini menyaksikan lebih 300 perwakilan sebulat suara menyokong usul persempadanan semula supaya nisbah bilangan pengundi lebih adil antara kawasan Parlimen.

Malah, ada cadangan supaya SPR mengkaji untuk mengembalikan status kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 dengan menambah kerusi baharu.

PARLIMEN
Berdasarkan laman web SPR, terdapat tidak kurang 85 kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi lebih 100,000 yang jika kesemuanya dipecahkan kepada dua kawasan akan menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen daripada 222 kepada 307 kerusi.

Namun, cadangan persempadanan semula itu dibantah blok pembangkang dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasim menyifatkan cadangan tersebut hanya akan menguntungkan DAP.

Justeru, Hashim berkata, Pas membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan persempadanan semula khususnya menjelang PRU16.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR.

“Serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, SPR bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri-negeri berlandaskan kepada prinsip dan tatacara yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II, Perlembagaan Persekutuan.

“(Iaitu) kewajaran memudahkan diadakan bagi semua pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri dan mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran serta pengundian.

“Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan serta perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat