Pengambilalihan 18.87 peratus kepentingan Ranhill Utilities langkah pelaburan strategik YTL Power – MIDF Research

- Advertisement -

CYBERJAYA – Langkah YTL Power International Bhd mengambil alih 18.87 peratus kepentingan dalam syarikat Ranhill Utilities Bhd merupakan satu pelaburan strategik bagi YTL Power, demikian menurut kenyataan firma penyelidikan, MIDF Research.

Memetik laporan DagangNews, MIDF Research berkata, Ranhill memiliki aset yang baik seperti hak eksklusifnya untuk bekalan air Johor dan terlibat dalam sektor tenaga Sabah.

“Ranhill telah membina penglibatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui loji solar berskala besar 4 (LSS4) 50MW (megawatt) yang akan beroperasi tidak lama lagi dan secara aktif sedang meneroka peluang mengembangkan kehadirannya di ruang ini,” kata firma penyelidikan itu.

Terdahulu, YTL Power dilaporkan telah muncul sebagai pemegang saham utama Ranhill selepas memperoleh 243.33 juta saham dalam syarikat tersebut.

Walaupun setakat ini belum ada butiran lanjut diumumkan, namun menurut MIDF Research ia difahamkan bahawa 18.87 peratus kepentingan itu diperoleh daripada Cheval Infrastructure, yang seterusnya mungkin bukan lagi pemegang saham Ranhill.

Tambah firma penyelidikan itu lagi, YTL Power juga sedang membina kehadirannya di Johor dan RE menerusi pusat data 72MW (Fasa 1) dan ladang solar 500MW di Kulai pada masa akan datang.

Menurutnya, YTL Power juga telah menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam eksport RE ke Singapura, sementara menunggu rangka kerja eksport RE dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Memandangkan pegangan YTL Power masih di bawah 20%, kami tidak melihat sebarang kesan kepada pendapatan kumpulan ketika ini, melainkan YTL Power berhasrat meningkatkan lagi pegangannya dan jika ia merancang sebarang usaha niaga strategik dengan Ranhill,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kos pembelian kepentingan tersebut, MIDF Research berkata berdasarkan harga penutup pada 58 sen sesaham semalam, ia boleh mencecah RM141 juta, yang hampir tidak menjejas kunci kira-kira YTL Power.

“Kemasukan utiliti multinasional yang besar seperti YTL Power ke dalam Ranhill menunjukkan nilai syarikat terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ bagi kedua-dua YTL Power dan Ranhill, dengan harga sasaran (TP) masing-masing pada RM2.45 dan 80 sen sesaham.

Sehingga pukul 3:55 petang ini, saham Ranhill telah menokok 14.5 sen atau 25 peratus kepada 72.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM940.2 juta.

Manakala, saham YTL Power menokok 5 sen atau 2.4 peratus kepada RM2.16, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM17.6 bilion.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat