KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengucapkan tahniah kepada Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh atas pelantikan sebagai Peguam Negara, berkuat kuasa 6 September ini.
SPRM menzahirkan keyakinan Ahmad Terrirudin akan menyumbang kepakaran berdasarkan pengalaman luas dalam bidang undang-undang bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai Peguam Negara.
“SPRM mengalu-alukan pelantikan beliau dan berharap dapat meneruskan jalinan kerjasama baik dengan Pejabat Peguam Negara ke arah menjadikan Malaysia negara bebas rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengumumkan pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenan pelantikan Ahmad Terrirudin selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara sekali gus mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara. – BH