RUU Anti Lompat Parti Dan Keputusan RoS Cerminan Kemenangan UMNO-BN Dalam PRU-15 – Reezal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dua keputusan penting politik membabitkan kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dan kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membenarkan penangguhan pemilihan UMNO adalah dua penanda aras yang mengukuhkan perpaduan parti sekali gus cerminan jelas potensi kemenangan pada PRU-15.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, rangkuman kekuatan fikiran dan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, ahli MKT dan barisan Jemaah Menteri akan meletakkan UMNO di kedudukannya yang paling kukuh dan kuat.

” Pada pandangan saya, palu genderang sebenar Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) sudah pun bermula. Segala kekuatan UMNO yang ada mestilah dihalakan ke akar tujuan yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Reezal yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, keputusan signifikan dan penting yang berlaku di Dewan Rakyat tempoh hari memberikan indikasi cukup jelas bahawa kepimpinan kerajaan dan UMNO mutakhir ini tidak gentar untuk memulakan ruang perubahan dan transformasi politik.

Bahkan jelas beliau, kejayaan ikhtiar Pindaan Perlembagaan yang wajar dilakukan bagi memastikan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dilaksanakan dengan cukup kemas dan tuntas.

“Kejayaan ini pastinyalah terlaksana dengan komitmen jelas Perdana Menteri dalam mengukuh persefahaman dan persetujuan rentas parti.

” Sebaik sahaja RoS meluluskan pula permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti ia seakan mengesahkan bahawa janji dan komitmen yang diberikan sewaktu menyokong usul di PAU Khas UMNO terlaksana tanpa sebarang keraguan.

” Perdana Menteri ternyata seorang yang tidak gemar memungkiri janji. Malah menidakkan sama sekali “teori dan anggapan”; beliau mempersiap landasan kukuh buat dirinya sendiri,” jelasnya.

Tambah Reezal, pukulan kilas politik (a genius political stroke) yang diterajui kepimpinan UMNO mutakhir ini, merupakan penterjemahan kematangan politik luar biasa.

” Ini sebenarnya nadi dan tradisi kekuatan UMNO buat berdekad lamanya. “Bagai menghela tali jala; rasa tegang, dikendurkan; rasa kendur, ditegangkan. Yang mustahak, tali jangan putus, kaitan jangan serkah”.

” Wajar ditegaskan, tindakan politik seorang Perdana Menteri yang belum pun genap setahun usia pentadbiran ini amat luar biasa berani. Dalam banyak hal, beliau sentiasa mengutamakan dan mendahulukan parti.

“Alhamdulillah, kebijaksanaan ini juga dituruti dengan pernyataan jelas Presiden UMNO bahawa beliau tidak mempunyai sifat dendam dan kesediaan beliau untuk sentiasa memaafkan,” ujar Reezal lagi.

Tanpa sebarang keraguan, Reezal menganggap dinamik politik mutakhir ini akan meletakkan saf kepimpinan UMNO baik yang berada di dalam saf kepimpinan parti mahupun kerajaan – di landasan yang sama dan serupa.

” Ini waktu dan ketikanya, hela dan gema nafas kepimpinan UMNO berdegup di paras gelombang dan tahap yang sama. Tidak sewajarnya ada lagi denyut pandangan sumbang” yang membangkitkan rasa marah dan syak wasangka. Kita sudah terlalu jauh menyeberangi ombak rasa kurang senang dan keraguan yang tidak munasabah.

” Apa sahaja keputusan baik yang mengukuh jala kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti diambil sebagai azimat kekuatan. Seluruh kepimpinan UMNO; baik di pusat, negeri dan bahagian demikian juga pemimpin di ribuan cawangan dan akar umbi, wajar bersedia sebaiknya untuk PRU. Tidak wajar ada lagi sekelumit ruang untuk kita berbeza pandang. Yang ada hanyalah ruang – memperkasa parti; mencari jalan dan wadah kemenangan dalam PRU yang akan datang,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat