KKM Saran Sidang Parlimen Tangguh Dua Minggu – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai ditangguhkan untuk tempoh dua minggu bermula dari 29 Julai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saranan tersebut dibuat setelah mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 daripada berlaku di Parlimen.

Menurut beliau, mengambil kira sidang ini melibatkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara dan memberi risiko tinggi penularan jangkitan Covid-19 terutama di kala varian berbahaya seperti Delta merebak di dalam komuniti dan situasi peningkatan kes Covid-19 yang semakin melarat, KKM sememangnya bimbang sekiranya berlaku penularan jangkitan di Parlimen.

“Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya mengalami gejala, sila jalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, Noor Hisham dalam kenyataan dilaporkan berkata, 11 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen ketika berlangsung persidangan berkenaan dengan 10 kes positif dikesan melalui Kit Ujian Rapid Antigen (RTK Ag) menggunakan air liur, manakala satu lagi menerusi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR).

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, hasil saringan pra-persidangan Dewan Negara ke atas 100 individu menggunakan ujian RT-PCR pada Sabtu mendapati sembilan kes positif Covid-19.

“Permakluman kes telah dilaporkan kepada KKM pada 1 Ogos. Siasatan ke atas kes dan pengesanan kontak rapat sedang dijalankan untuk diambil tindakan kawalan dan pencegahan sewajarnya,” ujarnya.

Menurutnya, Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan wabak Covid-19 meskipun jumlah kes positif yang dikesan adalah 0.8 peratus.

“Terdapat enam kes iaitu satu kes pertama dan lima kes pengesahan lanjut dengan RT-PCR dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi ‘superspreader’.

“Pergerakan kes di sekitar kawasan Parlimen yang berkemungkinan boleh menyebabkan pendedahan kepada individu lain.

“Ramai dalam kalangan yang hadir ke Sidang Mesyuarat Khas Parlimen ini dalam kategori warga emas dan kemungkinan mempunyai faktor komorbid yang meningkatkan risiko jangkitan,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat