Isu Kerajaan ‘Derhaka’ Dipolitikkan, Proses Batal Ordinan Darurat Masih Berjalan – Annuar

- Advertisement -

KOTA BHARU – Isu ‘penderhakaan’ kerajaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang timbul ketika ini adalah disebabkan penyebaran maklumat tidak tepat malah ia turut dipolitikkan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata apabila berlaku banyak laporan yang tidak tepat sejak hari pertama isu itu hangat diperkatakan, wujud beberapa pihak cuba mengambil kesempatan.

“Kemudian orang awam tidak diberi penjelasan secara tepat dan terperinci menyebabkan timbul pula pelbagai persepsi. Sebenarnya, banyak yang tidak tahu bahawa proses pembatalan ordinan itu sedang berjalan mengikut peraturan-peratusan biasa, langsung tidak timbul soal derhaka dan sebagainya, cuma ia dipolitikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bagi penduduk Parlimen Ketereh di Dewan Tun Abdul Gaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan dekat sini hari ini.

Pada 26 Julai lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pelanjutan darurat, yang dijadual tamat hari ini (1 Ogos).

Mengulas lanjut, Annuar berkata perkara yang diumumkan Takiyuddin pada persidangan itu secara konteksnya adalah sekadar memaklumkan keputusan jemaah menteri namun prosesnya masih berjalan seperti biasa sehingga mendapat perkenan Seri Paduka.

“Pada 26 Julai, sidang Parlimen bermula dan di situlah Menteri Undang-Undang didesak pembangkang untuk mengetahui pendirian kerajaan dan Menteri Undang-Undang memaklumkan perkembangan terbaharu.

“Apabila isu berkenaan cuba dikelirukan, Perdana Menteri tanpa berlengah pada keesokan harinya, iaitu 27 Julai, terus menghadap Seri Paduka bersama Peguam Negara untuk menerangkan perkara sebenar.

“Malah Perdana Menteri turut memohon maaf sekiranya apa yang disampaikan dalam sidang Parlimen itu menimbulkan kekeliruan dan ia boleh diperjelaskan,” katanya sambil menegaskan kerajaan juga berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan.

Menerusi kenyataan Istana Negara pada 29 Julai, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat, walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan tidak dilaksanakan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat