SEREMBAN, — Arahan penempatan semula kakitangan Balai Undang Luak Sungai Ujong serta pengosongan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Sungai Ujong menguatkan lagi alasan UMNO Negeri Sembilan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.
Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan dalam kenyataan bersama berkata, tindakan kerajaan negeri itu membuktikan krisis membabitkan institusi adat gagal diurus dengan tertib, santun dan bijaksana.
Menurut kenyataan itu, tindakan tergesa-gesa tersebut bukan sahaja tidak wajar dan tidak sensitif, malah boleh dilihat sebagai penggunaan kuasa pentadbiran untuk mendahului proses adat ketika pertikaian melibatkan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong masih belum selesai.
“Arahan penempatan semula semua kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa pada 28 April 2026 serta pengosongan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong pada 29 April 2026 amat serius.
“Jelas bahawa arahan tersebut dikeluarkan ketika Balai Undang Luak Sungei Ujong sedang menguruskan pertikaian yang belum selesai melibatkan YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.
“Maka tindakan Kerajaan Negeri ini adalah tidak wajar, tidak sensitif dan boleh dilihat sebagai penggunaan kuasa pentadbiran untuk mendahului proses adat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Wanita UMNO Negeri Sembilan, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan dan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan hari ini.
Mereka berkata, institusi Undang Luak bukan sekadar jawatan pentadbiran biasa, sebaliknya sebahagian daripada struktur adat Negeri Sembilan yang mempunyai kedudukan tersendiri dan tinggi dalam sejarah, budaya serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sehubungan itu, menurut kenyataan tersebut, sebarang tindakan melibatkan kediaman rasmi, balai, kakitangan atau kemudahan berkaitan institusi tersebut perlu dibuat dengan penuh tertib, santun dan kebijaksanaan.
“Justeru, kami dari Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO seluruh Negeri Sembilan berpandangan bahawa tindakan tergesa-gesa seperti ini hanya mengesahkan kebimbangan mengenai krisis ini telah gagal diurus dengan bijaksana oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Ia juga menguatkan alasan mengapa keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah hilang sejak tercetusnya krisis ini,” katanya.
Ketiga-tiga sayap UMNO itu turut menegaskan isu tersebut bukan soal politik kepartian, sebaliknya berkaitan kegagalan seorang Menteri Besar mengurus krisis melalui tertib adat, selain menjaga maruah dan persepsi rakyat terhadap institusi di Negeri Sembilan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan bertarikh 1 Mei 2026 bersamaan 13 Zulkaedah 1447.



