Oleh: Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kementerian Kewangan Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan program Corporate Social Responsibility (CSR) kepada fakir jalanan di sekitar Jalan Chow Kit pada Jumaat.
Program turun padang ini turut berkolaborasi dengan pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan (Penjejak Fakir Jalanan) dan influencer media sosial terkenal, Abbe Hae.
Menurut kenyataan JANM sebanyak 150 bakul makanan dan pakaian telah diagihkan dan diedarkan kepada golongan fakir jalanan. Penyerahannya turut dilakukan oleh Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Noorlida Mohd Khalid.
Beliau berkata, seramai 50 orang sukarelawan AKRAB yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JANM berganding bahu membantu golongan fakir jalanan dan memastikan keperluan asas makanan mereka dipenuhi.
Ujarnya, golongan yang kurang bernasib baik atau menghadapi kesukaran kewangan sedikit sebanyak dapat dibantu dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka.
“Makanan dan pakaian yang disumbangkan ini adalah dari warga JANM sendiri dan inisiatif ini dapat memupuk semangat gotong-royong serta kepedulian sosial dalam masyarakat,” ujarnya lagi. – Suara.TV