MB Johor Akan Turut Serta Dalam Mesyuarat UMNO Negeri – Hasni

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan dilibatkan dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri bagi membolehkan kesinambungan kerjasama parti dan kerajaan negeri sentiasa terjalin.

Ia berikutan sebelum ini, Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri hanya melibatkan pimpinan tertinggi selaku Pengerusi Perhubungan dan Ketua Bahagian sahaja sementara Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, usaha itu juga dilihat bagi memastikan peranan MB dalam memperkasa usaha-usaha Barisan Nasional (BN) menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dijayakan.

“UMNO Johor berpegang dan kekal dengan cara Johor bagi memastikan kesinambungan parti dan kerajaan negeri sentiasa terjalin. Jadi Menteri Besar akan dilibatkan untuk menjadi ahli mesyuarat perhubungan selepas ini.

“Parti juga ingin melihat supaya inisiatif Ikhtiar BN (manifesto) yang menjadi sandaran utama PRN Johor untuk membentuk kerajaan yang stabil dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir mempengerusikan mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Pejabat UMNO Johor di sini pada Jumaat.

Hasni berkata, menerusi mesyuarat itu, pimpinan juga sebulat suara bersetuju melakukan proses penilaian semula struktur parti memandangkan terdapat sebahagian besar wakil rakyat UMNO yang baharu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menjelaskan perkara itu dilihat apabila wakil rakyat daripada kalangan ketua pemuda atau puteri ini perlu disusun peranannya khusus bagi memperkuatkan parti.

“Ini kita perlu lihat semula, untuk kita memperkuatkan lagi parti. Jadi setiap bahagian dikehendaki menyusun semula peranan dan struktur parti di bahagian masing-masing.

“Parti akan sentiasa bersama mereka untuk memberi kerjasama dan membuat segala langkah-langkah supaya tidak berlaku pertikaian antara kepimpinan parti dan peranan sebagai wakil rakyat,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat