Buku Iqra’ Terbitan Malaysia, Bantu Golongan ‘Buta Huruf’ Al-Quran

- Advertisement -

GOMBAK – Bantu golongan buta huruf al-Quran dengan menghasilkan Buku Iqra’ ‘Bacalah Edisi Premium’ khusus bagi membolehkan golongan itu mampu menghayati ayat suci al-Quran.

Itu antara usaha murni dilakukan Pertubuhan Misi Kemanusiaan Naurah Care Malaysia (Naurah Care) dalam memastikan lebih ramai umat Islam dan golongan muda mendalami al -Quran.

Pengerusi pertubuhan itu, Sheikh Ahmad Fakhruddin Sh Abd Rahim berkata, misi utama penerbitan Buku Iqra’ bertujuan menjadikan ia medium dakwah selain mengurangkan bilangan umat Islam yang buta huruf al-Quran.

“Alhamdulillah, kami dapat menyiapkan, menerbitkan dan melancarkan Buku Iqra’ Bacalah Edisi Premium ini walaupun mengambil masa berbulan-bulan. Penerbitan buku ini mendapat kelulusan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Dengan kerjasama daripada Penulis Dr Mohd Fateh Labanieh, penulisan buku edisi kedua ini dapat diselesaikan selepas pelancaran Buku Iqra’ yang pertama pada 2021.

“Dr Mohd Fateh adalah antara Pengasas Utama NGO Naurah Care yang sentiasa ingin melihat pertubuhan ini terus berkembang maju,” katanya pada majlis Perasmian Buku Iqra’ Edisi Premium di Dewan D’Attap, Kuang di sini.

Majlis perasmian itu dilancarkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zainal Abidin Shaikh Zakaria.

Sheikh Ahmad Fakhruddin berkata, buku Iqra’ Edisi Premium berkulit keras ini diterbitkan dalam tiga warna termasuklah warna hitam, biru dan hijau serta muka suratnya berwarna-warni untuk menarik minat masyarakat.

“Buku ini dijadikan sebagai rujukan mereka untuk belajar membaca al-Quran dengan cara yang betul.

“Buku Iqra’ ini dijual pada harga RM25. Ia boleh dibeli secara dalam talian dengan melayari laman sesawang, naurahcaremalaysia.com, untuk dijadikan rujukan seisi keluarga, disumbangkan atau diinfaq kepada masyarakat.

“Bagi menyemarakkan sambutan Ramadan yang akan menjelang tiba, Buku Iqra’ ini juga antara produk yang diisi dalam set bakul Ramadan sempena Kempen Set Bakul Ramadan 2022.

“Ada tujuh set bakul Ramadan yang berharga RM60 untuk setiap set. Program pertama kempen ini akan diadakan selama sebulan sepanjang Ramadan ini di D’Saji Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, yang mengadakan bufet Ramadan,” katanya.

Pada majlis sama, pihak Naurah Care Malaysia menyerahkan Buku Iqra’ kepada 18 orang anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kuang, Selangor, sebagai simbolik Wakaf Misi Ramadan.

Jelas Sheikh Ahmad Fakhruddin, sebelum ini masyarakat di negara ini menggunakan Buku Iqra’ dari Indonesia dan sekarang masa untuk tukar kepada Buku Iqra’ terbitan Malaysia.

“Pada 15 hingga 17 April ini, pasukan Naurah Care akan ke Labuan, Sabah untuk menggerakkan misi Kempen Set Ramadan 2022 bersama masyarakat Islam di sana.

“Perancangan seterusnya, Naurah Care akan membangunkan Aplikasi Iqra’ Bacalah di mana masyarakat akan mempelajari al- Quran hanya dengan menggunakan aplikasi yang berkualiti dan aplikasi sebagai guru,” katanya.

Menurutnya, pembangunan ini memerlukan dana yang besar bagi menjayakannya.

“Pihak Naurah Care mengalu – alukan sumbangan syarikat korporat, agensi kerajaan atau orang perseorangan dalam menjayakan aplikasi ini.

“Pada masa sama, pada Ramadan Al-Mubarak ini kami bersama kumpulan nasyid Rabbani akan mewar-warkan program Kempen Sifar Buta Huruf Al-Quran menggunakan Buku Iqra’ Bacalah Edisi Premium dan Kempen Set Bakul Ramadan di D’Saji Restoran Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat