Pemulihan ekonomi kukuh tahun ini – Tengku Zafrul

- Advertisement -

PETALING JAYA: Kerajaan yakin pemulihan ekonomi negara berada pada landasan tepat, selaras dengan jangkaan pertumbuhan enam ke 7.5 peratus negara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang kukuh pada tahun ini, berlandaskan komitmen penuh kerajaan bagi mencapai konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana hingga panjang.

Kata beliau, unjuran pertumbuhan oleh BNM juga selaras dengan anggaran Bank Dunia pada enam peratus dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6.5 peratus, yang mana kedua-duanya menjangkakan Malaysia bakal mencapai antara kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi di rantau ini.

“Yang lebih utama, ekonomi diunjurkan untuk kembali ke tahap prapandemik seawal pertengahan 2021, disokong oleh antara lainnya peningkatan permintaan luaran berikutan peningkatan penggunaan teknologi; langkah pembendungan Covid-19 yang lebih bersasar dan pelaksanaan pelan vaksinasi Covid-19 yang kemas dan tersusun.

“Ia termasuk pemulihan keadaan pasaran buruh secara beransur-ansur; pengeluaran sektor pembuatan dan komoditi yang lebih tinggi serta kesinambungan projek infrastruktur awam seperti MRT2, LRT3 dan Jendela,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam sidang akhbar Laporan Tahunan BNM 2020 semalam memaklumkan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara enam peratus dan 7.5 peratus pada 2021 selepas mencatatkan penguncupan 5.6 peratus pada tahun lalu, dipacu oleh faktor luaran dan domestik.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi tahun ini juga disokong oleh peningkatan dalam aktiviti pelaburan dan pengeluaran serta sokongan dasar.

Jelasnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memberi kesan kepada pertumbuhan pada suku pertama 2021, namun keadaan akan bertambah baik selepas suku kedua dan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pihaknya percaya bahawa langkah fiskal telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam respons kerajaan terhadap pandemik Covid-19 bagi menjamin pemulihan negara selepas ini.

Katanya, tindakan kerajaan dalam memperkenalkan pelbagai langkah dasar pada 2020 melalui empat pakej berjumlah RM305 bilion bertujuan bukan hanya untuk meredakan impak krisis tetapi juga untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan rentan dibantu secukupnya.

“Langkah fiskal tersebut dan dasar yang lain, termasuk peruntukan di bawah Belanjawan 2021, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam membendung pandemik Covid-19 bagi menjamin pemulihan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat