KUANTAN — Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ke Majlis Berbuka Puasa Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di Hotel Grand Darul Makmur, disifatkan amat bermakna khususnya buat anak-anak di bawah naungan yayasan itu.
Bekas Perdana Menteri Kesembilan merangkap Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas limpah perkenan dan keprihatinan baginda yang bukan sahaja berangkat ke majlis berkenaan, malah sebelum itu turut meraikan Program Membeli Belah Aidilfitri bersama anak-anak YKM yang hadir dari seluruh negeri Pahang.
“Sesungguhnya keberangkatan Kebawah Duli-Duli Tuanku amat bermakna khususnya buat anak-anak Yayasan Keluarga Malaysia.
“Patik sekalian menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Tuanku yang bukan sahaja berangkat ke majlis ini, malah sebelum itu turut bercemar duli meraikan anak-anak ini membeli baju raya.
“Limpah kasih dan perhatian Kebawah Duli Tuanku pastinya menjadi kenangan yang akan terpahat dalam hati mereka sepanjang hayat serta melambangkan kecaknaan yang tidak ternilai, keprihatinan seorang Raja yang berjiwa rakyat yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata, majlis berbuka puasa berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya simbol kasih sayang dan harapan kepada anak-anak yang diuji dengan kehilangan insan tersayang.
“Anak-anak ini mungkin diuji dengan kehilangan yang besar, namun mereka tidak pernah kehilangan perhatian dan pembelaan. Kita mahu anak-anak ini juga menyambut
Aidilfitri dengan gembira seperti rakan-rakan mereka,” jelasnya.
Menurutnya, YKM akan terus komited memastikan kebajikan anak-anak di bawah naungannya sentiasa terbela termasuk melalui penyaluran bantuan kewangan menjelang Syawal.
“Menjelang Aidilfitri, YKM akan menyalurkan bantuan kepada 574 penerima beragama Islam di seluruh negara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM200,000 yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 11 Mac 2026,”
Majlis tersebut turut dihadiri barisan EXCO Kerajaan Negeri Pahang, Ahli Parlimen, ADUN setempat serta kepimpinan tertinggi negeri.
Program Membeli Belah Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa ini juga turut mendapat kerjasama dan sokongan Kerajaan Negeri Pahang, agensi-agensi Kerajaan Negeri Pahang dan VFive Group Sdn Bhd.



