KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen bagi tahun 2024 meningkat kepada 6.30% bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Shariah, menjadikannya lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurut KWSP, jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak RM63.05 bilion, manakala Simpanan Shariah melibatkan agihan RM10.19 bilion, menjadikan keseluruhan agihan dividen tahun ini mencecah RM73.24 bilion.
Para ahli boleh menyemak penyata terkini mereka mulai 2 Mac 2024 melalui aplikasi KWSP i-Akaun.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11% berbanding RM66.99 bilion yang diperoleh pada 2023.
“Aset pelaburan KWSP kini mencecah RM1,249.71 bilion, meningkat 10% daripada RM1,135.82 bilion pada 2023. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio yang kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion, naik 11% daripada RM97.56 bilion tahun lalu,” menurut kenyataan KWSP.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali, menjelaskan bahawa kadar dividen yang lebih tinggi tahun ini dipacu oleh beberapa faktor utama, termasuk pemulihan ekonomi global dan domestik, serta strategi pelaburan yang lebih berkesan.
“Dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan, dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa keadaan pasaran buruh yang sihat, inflasi yang stabil, dan pertumbuhan eksport turut membantu meningkatkan prestasi pelaburan KWSP.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa inisiatif ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk Belanjawan 2024 dan kerangka Ekonomi MADANI, turut memainkan peranan dalam menarik pelaburan asing serta mewujudkan persekitaran ekonomi yang mampan.
Mengulas mengenai ketidaktentuan pasaran global, Mohd Zuki menegaskan kepentingan Alokasi Aset Strategik (SAA) dalam memastikan prestasi pelaburan yang stabil.
“SAA memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi portfolio yang stabil dan memastikan ketahanan jangka panjang pelaburan KWSP. Dengan mengimbangi risiko dan pulangan, pendekatan ini bukan sahaja melindungi dana daripada ketidaktentuan pasaran, tetapi juga menyokong pembayaran dividen yang mampan untuk ahli kami,” katanya.
Pada masa ini, ekonomi Malaysia berkembang 5.1% (2023: 3.6%) dengan pasaran saham mencatatkan prestasi kukuh. FBM KLCI meningkat 12.9% dan mencapai paras tertinggi sejak 2020.
Di peringkat global, keadaan pasaran bercampur-campur dengan bank pusat mengekalkan kadar faedah tinggi bagi membendung inflasi. Walaupun kadar faedah yang lebih tinggi menekan penilaian ekuiti, ia turut membuka peluang dalam sektor pendapatan tetap.
Sebagai perbandingan, KWSP membayar dividen 5.5% bagi Simpanan Konvensional dan 5.4% bagi Simpanan Shariah pada tahun 2023, dengan jumlah agihan sebanyak RM57.81 bilion.
Pada 2022, kadar dividen adalah 5.35% bagi Simpanan Konvensional dan 4.75% bagi Simpanan Shariah.Rekod kadar dividen tertinggi KWSP adalah 8.5%, yang dicatatkan antara tahun 1983 hingga 1987.