Inspektor Sheila buat hal lagi, kali ini di sambutan Thaipusam?

KUALA LUMPUR,– Seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ ditahan polis semalam selepas disyaki mencetuskan kekecohan di pekarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, ketika sambutan Thaipusam sedang berlangsung.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, penahanan dilakukan susulan insiden pertengkaran antara suspek dengan petugas di lokasi kejadian yang dikhuatiri boleh menggugat ketenteraman awam.

Menurut beliau, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Tangkapan dibuat semalam kerana berlaku sedikit perkara di luar jangka yang boleh menimbulkan kekecohan melibatkan pertengkaran dengan penjaga di sini.

“Polis telah mendapatkan perintah reman selama satu hari terhadap suspek. Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program kepolisian komuniti ‘Thaneer Panthal’ PDRM di kuil berkenaan hari ini.

Difahamkan, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 selepas terlibat dengan beberapa kes lain termasuk menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.

Sebelum ini, wanita terbabit beberapa kali tular dalam media sosial kerana didakwa menimbulkan kekecohan di beberapa lokasi awam seperti kedai makan serta mengganggu tugas polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khalid berkata kawalan keselamatan sempena sambutan Thaipusam tahun ini diperkukuh menerusi penugasan 1,400 pegawai dan anggota polis di sekitar Batu Caves menerusi Ops Palu 2026.

Operasi yang bermula sejak 30 Januari lalu dan berakhir 3 Februari ini melibatkan kawalan keselamatan 24 jam yang dibahagikan kepada empat zon utama.

Polis menjangkakan kehadiran pengunjung mencecah 1.4 hingga 1.5 juta orang yang membanjiri Batu Caves bagi meraikan perayaan tersebut.

“Setakat ini, keadaan keselamatan terkawal sepenuhnya tanpa sebarang insiden besar. Moral petugas juga berada pada tahap tinggi dalam memastikan kelancaran perayaan,” katanya.

Kawalan keselamatan turut dibantu oleh 275 anggota daripada pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia serta Jabatan Kerja Raya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat