KUALA LUMPUR,– Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail mendakwa rakaman audio tular yang dikaitkan dengan Wan Saiful Wan Jan menjadi titik mula kepada ketegangan serius hubungan antara Bersatu dan PAS, sekali gus mencetuskan perang dalaman dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan panjang, Tun Faisal menegaskan bahawa krisis yang berlaku ketika ini bukan berpunca daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya berpunca daripada “rakaman audio” serta tindakan kumpulan yang digelar sebagai “Geng SD”.
“Saya ingin memohon maaf kepada rakan-rakan dalam PAS dan berharap penjelasan ini dapat difahami dengan hati terbuka. Antara faktor utama yang mencetuskan ketegangan hubungan antara PAS dan Bersatu ialah rakaman audio tular melibatkan Wan Saiful serta tindakan kumpulan yang dinamakan sebagai Geng SD,” katanya.
Tun Faisal berkata, hubungan antara Bersatu dan PAS berada dalam keadaan baik sehinggalah tersebarnya rakaman audio pada awal September 2025 yang didakwa mirip suara Wan Saiful, dirakam dalam satu pertemuan di Shah Alam.
Menurut beliau, rakaman itu mengandungi dakwaan bahawa pada 18 Februari 2025, lima pemimpin PAS bertemu lima pemimpin Bersatu dan menyatakan sokongan kepada individu tertentu dalam Bersatu sebagai calon Perdana Menteri, namun individu itu bukan Muhyiddin.
Tun Faisal menegaskan, dakwaan seperti itu sama ada benar atau palsu berpotensi besar mencetuskan prasangka serta kemarahan kerana ia dilihat seolah-olah campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman Bersatu dan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepimpinan Muhyiddin.
Keadaan katanya semakin tegang apabila isu itu ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan oleh Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal, selain peranan kumpulan yang dinamakan sebagai Geng SD serta satu kluster dalam PAS yang digelar sebagai “Kluster Publika”.
Tun Faisal turut mendakwa ketegangan bertambah apabila tersebarnya surat Presiden Bersatu kepada Presiden-presiden parti komponen PN yang bocor seawal jam 11.26 pagi dalam satu kumpulan WhatsApp bernama SSM.
Beliau mempersoalkan bagaimana surat tersebut boleh diperoleh begitu cepat sedangkan ramai pimpinan Bersatu sendiri tidak menerimanya dan ia tidak pernah dikongsikan melalui saluran rasmi.
“Kandungan surat yang bocor itu kemudiannya dimanipulasi sepenuhnya oleh Geng SD untuk menuduh Tan Sri Muhyiddin berbohong,” katanya.
Menurut Tun Faisal, dakwaan kononnya Muhyiddin menjadi punca keretakan hubungan PAS–Bersatu hanyalah naratif baharu selepas naratif “pembohongan” dimainkan terhadap Presiden Bersatu itu.
Beliau menegaskan hakikatnya, audio tular, kebocoran surat yang mencurigakan serta manipulasi kumpulan tertentu merupakan faktor utama yang menyumbang kepada ketegangan hubungan dalam gabungan tersebut.
Tun Faisal turut menyindir bahawa mungkin wajar Wan Saiful, Wan Ahmad Fayhsal dan kumpulan berkenaan mempertimbangkan cadangan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang pernah berkata, “Apa salahnya masuk PAS semuanya?” sebagai jalan keluar bagi mengharmonikan kembali keadaan.



