KOTA SAMARAHAN – Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Hamzah Brahim menerima dengan hati terbuka pertandingan satu lawan satu di kerusi itu tetapi yakin pengundi DUN berkenaan tahu siapa pihak yang menjalankan kerja untuk rakyat.
Hamzah akan berdepan pertandingan dengan calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Atet Anak Dego.
Beliau merasakan pertandingan yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di kerusi berkenaan adalah satu pertandingan yang sihat ketika ada kerusi lain yang sudah dimenangi oleh GPS tanpa bertanding.
“Saya mengucapkan tahniah pada rakan-rakan saya yang menang tanpa bertanding dan di sini ada pertandingan dan kita lihat ini adalah satu pertandingan yang sihat.
“Saya menerima dengan hati yang terbuka, saya yakin dan percaya rakyat Stakan tahu siapa yang berkhidmat dan siapa yang datang waktu pilihan raya sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon hari ini.
Penamaan calon bagi N.17 Stakan dijalankan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Cina Chung Hua Sungai Jernang di sini, hari ini.
Hamzah merupakan penyandang bagi kerusi berkenaan dan Atet juga pernah mencabar beliau pada pilihan raya sebelum ini pada PRN 2021.
Calon GPS itu menang besar dengan 7,854 undi manakala Atet hanya menerima 415 undi dan Hamzah menang dengan majoriti 5,807 undi.
Pada ketika itu, kerusi berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru dan undi Atet adalah paling sedikit sekali.
Mengulas lanjut mengenai hari penamaan calon, beliau bersyukur pencalonannya telah diterima pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata berkempen adalah satu proses formaliti dalam pilihan raya tetapi kerja perlu dimulakan bersungguh-sungguh selepas selesai dan kempen perlu dijalankan mengikut peraturan yang sudah ditetapkan.
“Kempen ini adalah formaliti, pada masa lepas, selepas pilihan raya itulah sebenarnya proses tugasan kita… kempen ini adalah mengikut peraturan yang telah dikhususkan oleh pihak SPR selama dua minggu ini adalah proses normal.
“Saya cuma akan membuat kerja-kerja untuk berjumpa dan menyantuni rakyat sahaja kerana dalam proses berkempen kita tidak boleh melanggari peraturan,” katanya.



