Belanjawan Selangor sudah lulus, mengapa PH masih mahu sekat Adun Pas?

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dipersoalkan berhubung cadangan menyekat Adun Pas daripada mengambil bahagian dalam perbahasan Dewan selepas tujuh wakil parti itu memilih untuk berkecuali dalam undian Belanjawan Selangor 2027.

Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar berkata, tindakan mencadangkan sekatan terhadap Adun Pas itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar PH dalam mempertahankan kebebasan bersuara dan hak pembangkang.

Beliau berkata, Belanjawan Selangor 2027 telah pun diluluskan dengan 42 undi menyokong, manakala tujuh Adun berkecuali dan tujuh lagi tidak hadir pada 20 November lalu.

Justeru, katanya, keputusan Adun Pas untuk berkecuali tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyekat hak mereka berbahas serta menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Jika belanjawan sudah diluluskan dengan sokongan 42 Adun, mengapa masih timbul cadangan untuk menyekat Adun PAS daripada berbahas?

“Adakah kerana mereka memilih untuk berkecuali, maka hak mereka untuk bersuara dan mempersoalkan kerajaan juga mahu dinafikan?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamed Sukri menegaskan, pendirian berkecuali merupakan hak setiap wakil rakyat dan tidak bermaksud mereka menolak keseluruhan belanjawan.

Sebaliknya, beliau berkata, seseorang Adun masih boleh mengiktiraf manfaat sesuatu inisiatif kerajaan sambil mempersoalkan keutamaan perbelanjaan, pengagihan peruntukan serta kemampuan kerajaan melaksanakan projek yang dijanjikan.

Beliau turut mempersoalkan pendirian PH yang sebelum ini lantang memperjuangkan kebebasan bersuara dan hak pembangkang untuk menyemak tindakan kerajaan.

“Suatu ketika dahulu PH begitu lantang mempertahankan kebebasan bersuara dan hak pembangkang. Kini, apabila Adun Pas memilih untuk berkecuali, timbul pula cadangan untuk menyekat mereka daripada berbahas.

“Memaksa wakil rakyat mengikut kehendak kerajaan dalam menentukan pendirian undian merupakan satu bentuk intimidasi politik yang boleh mencemarkan amalan demokrasi dalam Dewan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Adun Pas akan terus melaksanakan fungsi semak dan imbang, termasuk mendesak kerajaan memberikan penjelasan mengenai pelaksanaan projek tebatan banjir.

Katanya, rakyat berhak mengetahui kawasan yang akan diberi keutamaan, jumlah peruntukan, tarikh kerja dimulakan serta jangkaan projek disiapkan.

“Dewan sudah meluluskan belanjawan. Kerajaan negeri kini bertanggungjawab menunjukkan hasilnya, bukan masih sibuk bermain politik dalam keadaan rakyat terus sengsara ditenggelami banjir,” katanya.

Beliau berkata, hak pembangkang untuk berbahas dan memantau pelaksanaan belanjawan perlu terus dihormati demi memastikan kepentingan rakyat tidak diketepikan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat