PTVM, PROFIMA gesa kerajaan tambah peruntukan RTM, perluas peluang pekerjaan industri kreatif

KUALA LUMPUR – Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan perolehan program tempatan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi merancakkan industri penerbitan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat seni tanah air.

Gesaan itu antara enam agenda utama yang dipersetujui kedua-dua persatuan dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara majikan dan pekerja bagi membangunkan ekosistem industri kreatif negara yang lebih mampan, adil dan berdaya saing.

Menerusi kenyataan media bersama hari ini, kedua-dua persatuan memaklumkan peningkatan peruntukan menerusi Kementerian Komunikasi penting bagi membolehkan RTM memperluas pembelian program televisyen daripada syarikat penerbitan swasta tempatan.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan dijangka memberi peluang kepada lebih banyak syarikat penerbitan memperoleh projek, sekali gus menyediakan pekerjaan kepada pengarah, penulis skrip, pelakon, kru teknikal dan tenaga kerja industri kreatif.

“Lebih banyak perolehan bermakna lebih banyak produksi. Lebih banyak produksi bermakna lebih banyak peluang pekerjaan dan sumber rezeki kepada penggiat industri,” menurut kenyataan bersama itu.

Persefahaman berkenaan dicapai hasil kunjungan hormat delegasi PROFIMA yang diketuai Presidennya, Khalil Salleh, kepada PTVM yang diwakili Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli.

Selain memperjuangkan peningkatan peruntukan RTM, kedua-dua persatuan turut memberi perhatian terhadap aspek perlindungan sosial dan kebajikan pekerja industri kreatif, termasuk mereka yang bekerja secara bebas atau ‘freelancer’.

Sehubungan itu, PTVM dan PROFIMA bersetuju memperjuangkan pelaksanaan mekanisme caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang bersesuaian bagi memastikan pekerja mendapat perlindungan sepanjang tempoh penglibatan dalam produksi televisyen dan filem.

Mekanisme berkenaan akan dicadangkan kepada PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui kerjasama syarikat penerbitan yang menjadi ahli PTVM.

Kedua-dua persatuan juga bersetuju mengusahakan penubuhan Tabung Kebajikan Pekerja Industri Kreatif bagi membantu penggiat industri yang berdepan kesulitan hidup, kemalangan, penyakit serius atau musibah.

Dalam perkembangan berkaitan, PTVM dan PROFIMA merancang menganjurkan Townhall Industri Kreatif pada Januari 2027 sebagai platform perbincangan antara syarikat penerbitan, pekerja, persatuan industri serta wakil kementerian dan agensi kerajaan.

Program itu akan memberi tumpuan kepada isu peluang pekerjaan, kadar upah, perlindungan sosial dan kebajikan, selain disasarkan menjadi platform pelancaran tabung kebajikan berkenaan, tertakluk kepada persediaan pelaksanaannya.

Kedua-dua persatuan turut menegaskan bahawa pembangunan industri kreatif tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penghasilan kandungan berkualiti, sebaliknya perlu mengambil kira kelangsungan syarikat penerbitan dan kesejahteraan tenaga kerja.

“Majikan memerlukan pekerja untuk menghasilkan produksi, manakala pekerja memerlukan syarikat penerbitan untuk menyediakan peluang pekerjaan. Kedua-duanya saling bergantung dan mesti bergerak seiring,” menurut kenyataan itu.

PTVM dan PROFIMA berharap kerajaan memberikan perhatian serius terhadap cadangan bersama berkenaan bagi memastikan industri kreatif Malaysia terus berkembang secara lebih tersusun, berdaya saing dan mampu menjamin masa depan penggiatnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat