Semalam Pas dikutuk, hari ini dipujuk sertai PH – Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pas yang selama ini berdepan pelbagai kritikan dan label negatif daripada pihak lawan, kini dipersoalkan pula mengapa parti itu masih menjadi sasaran pelawaan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila parti yang sering digambarkan tidak mempunyai masa depan politik, tidak diterima masyarakat dan hanya menjadi parti pinggiran, kini dilihat masih diperlukan dalam percaturan politik.

Beliau mempersoalkan mengapa Pas dipelawa meninggalkan rakan politik sedia ada untuk menyokong PH sekiranya parti itu benar-benar sudah kehilangan pengaruh seperti yang sering didakwa.

“Kalau benar Pas sudah tidak diterima masyarakat, tidak ada masa depan, tidak diminati golongan profesional dan hanya menjadi parti pinggiran, mengapa pula Pas yang dicari?

“Kalau Pas sudah tidak laku, mengapa pula bersungguh-sungguh mahu mempelawa Pas?” katanya menerusi satu nukilan bertajuk Pas Masih Laku Lagi Ka?

Menurut Idris, Pas selama ini berdepan pelbagai persepsi termasuk dakwaan sebagai parti konservatif, tidak menerima perubahan zaman, gemar mengkafirkan pihak lain serta tidak mendapat sokongan golongan profesional dan cerdik pandai.

Beliau turut menyentuh kritikan terhadap hubungan politik Pas dengan parti lain yang dikaitkan dengan pelbagai kontroversi dan salah laku.

Bagaimanapun, katanya, percanggahan antara kritikan terhadap Pas dengan pelawaan supaya parti itu menyokong PH menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar Pas dalam landskap politik negara.

“Yang peliknya, semalam Pas dikutuk, hari ini Pas pula dipujuk,” katanya.

Idris menegaskan Pas tidak mengukur kekuatan politik berdasarkan pujian atau pelawaan daripada pihak lain, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai perjuangan dan kedudukan parti itu.

“Biarlah rakyat menjadi hakim terhadap perjuangan Pas,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat