Eskayvie buka peluang usahawan jana RM1,000 sebulan menerusi portal Nexus

Setiap perjalanan perniagaan pastinya bermula dengan langkah kecil, namun dengan ilmu, bimbingan dan peluang yang tepat, langkah tersebut mampu membawa seseorang menuju kejayaan lebih besar.

Berbekalkan pengalaman selama 17 tahun dalam industri kesihatan, Eskayvie terus memperluas usaha memperkasa golongan usahawan menerusi pelancaran Eskayvie Nexus Portal yang dirancang untuk membantu lebih ramai individu membina perniagaan serta menjana pendapatan secara konsisten.

Lebih menarik, inisiatif itu turut disokong aplikasi Eskayvie Nexus yang memudahkan urusan perniagaan di hujung jari, sekali gus memberi ruang kepada usahawan menguruskan aktiviti harian dengan lebih praktikal dan tersusun.

Pengarah Urusan merangkap Pengasas Eskayvie, Datin Dr. Kartika Wati Mohamed atau lebih mesra dikenali sebagai Dr. Kay berkata, pembangunan kedua-dua platform tersebut lahir daripada pengalaman pihaknya memahami cabaran sebenar yang dihadapi usahawan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, kekangan masa untuk belajar serta kekurangan ilmu dan bimbingan menjadi antara perkara utama yang sering menghalang seseorang daripada mengembangkan perniagaan.

Justeru, Nexus Portal diperkenalkan sebagai platform pembelajaran digital yang membolehkan usahawan mendapatkan ilmu mengikut kesesuaian masa masing-masing tanpa perlu terikat dengan jadual latihan secara fizikal.

“Sepanjang 17 tahun dalam industri, kami sudah banyak belajar dan memahami masalah sebenar yang dihadapi usahawan. Antara cabaran utama ialah masa untuk belajar dan ilmu yang diperlukan untuk membina perniagaan.

“Melalui Nexus Portal, kami mahu mereka tahu apa yang perlu dilakukan, bagaimana mendekati pelanggan pertama dan kepada siapa mereka boleh mendapatkan bimbingan,” katanya ketika ditemui pada sesi Meet & Greet bersama Dr. Kay di sini.

Menerusi konsep Explore, Learn, Grow, portal berkenaan menghimpunkan pelbagai panduan berkaitan produk Eskayvie, sistem perniagaan Nexus, pemasaran serta jualan bagi membantu usahawan memahami selok-belok perniagaan secara lebih teratur.

Malah, mereka turut dibekalkan skrip perbualan, bahan jualan dan panduan membuat susulan dengan pelanggan, selain latihan berkaitan pengetahuan produk serta pemasaran digital.

Bukan sekadar menyediakan bahan pembelajaran, Nexus Portal turut dilengkapi ciri Income Progress Tracker yang membolehkan usahawan menyemak perkembangan pendapatan berbanding sasaran masing-masing.

Kemudahan itu juga memberi peluang kepada pemimpin rangkaian memantau prestasi ahli pasukan, mengenal pasti individu yang memerlukan sokongan serta memberikan bimbingan bersesuaian.

Dalam masa sama, aplikasi Eskayvie Nexus yang diperkenalkan sebagai penambahbaikan kepada sistem terdahulu membolehkan pelbagai urusan perniagaan dilakukan menerusi satu platform bersepadu.

Jika sebelum ini usahawan perlu mengakses beberapa laman web berasingan, kini urusan seperti pembelian produk, pendaftaran ahli baharu dan perantis boleh dilakukan dengan lebih mudah melalui aplikasi berkenaan.

Menurut Dr. Kay, pembangunan Nexus Portal mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan selepas pihaknya menjalankan persediaan serta mengumpulkan maklum balas usahawan sejak setahun lalu.

Pelaburan ratusan ribu ringgit turut diperuntukkan bagi membangunkan portal tersebut supaya sistem pembelajaran dan pengurusan perniagaan dapat disepadukan dengan lebih menyeluruh.

Namun, di sebalik pelancaran teknologi berkenaan, Eskayvie sebenarnya membawa satu impian lebih besar menerusi Misi 10K × 1K, iaitu menyasarkan 10,000 usahawan Nexus menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan secara konsisten menjelang 2027.

Bagi Dr. Kay, angka tersebut mungkin kelihatan sederhana bagi sesetengah pihak, tetapi tambahan RM1,000 sebulan mampu membawa perubahan besar kepada sesebuah keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Bagi sesebuah keluarga, tambahan RM1,000 sebulan boleh membantu menampung belanja dapur, membeli keperluan sekolah anak-anak atau menyediakan simpanan kecemasan.

“Sebab itu kami mahu memudahkan langkah pertama bagi mereka yang ingin berniaga, termasuk individu yang belum pernah mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Eskayvie kini mempunyai kira-kira 130,000 usahawan berdaftar dan mahu melihat lebih ramai daripada mereka mencapai pendapatan secara konsisten menerusi sistem serta bimbingan yang disediakan.

Dalam sesi sama, Ketua Pegawai Penyelidikan dan Inovasi merangkap Pengarah Eksekutif Eskayvie, Datuk Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri turut menekankan kepentingan disiplin dan kesediaan untuk terus belajar dalam membina perniagaan.

Menurutnya, setiap usahawan perlu mempunyai matlamat yang jelas serta berani melakukan penambahbaikan apabila hasil yang diharapkan masih belum tercapai.

“Setiap usahawan perlu mempunyai matlamat yang jelas dan menterjemahkannya kepada tindakan. Apabila hasil jualan belum seperti yang diharapkan, lihat apa yang boleh diperbaiki, dapatkan bimbingan dan cuba lagi.

“Kemajuan datang apabila kita terus belajar dan konsisten mengamalkan apa yang dipelajari,” katanya.

Selain memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi, Eskayvie turut meneruskan usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan menerusi pendekatan lebih kreatif, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah siri animasi tempatan OWI yang berjaya meraih lebih setengah juta tontonan di YouTube sejak mula ditayangkan pada 17 Oktober lalu.

Menerusi kisah pengembaraan dan persahabatan, siri animasi tersebut menyampaikan mesej mengenai pemakanan seimbang serta amalan hidup sihat dalam bentuk penceritaan yang lebih dekat dengan dunia kanak-kanak.

Malah, pendekatan itu dilihat sebagai usaha menarik minat golongan muda untuk memahami kepentingan menjaga kesihatan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada nasihat atau teguran orang dewasa.

Jumlah tontonan Animasi

Dalam majlis sama, Eskayvie turut memperkenalkan koleksi barangan rasmi OWI sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkan lagi jenama animasi berkenaan.

Bagi Dr. Kay, usaha memperkasa masyarakat tidak seharusnya terhenti kepada soal pendapatan semata-mata, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan kesedaran kesihatan dan kesejahteraan keluarga.

“Bagi kami, memperkasa ekonomi dan kesihatan ummah bermula dengan keperluan sebenar keluarga. Ada yang mahu menambah pendapatan dan memerlukan panduan untuk bermula, manakala ada juga ibu bapa yang mencari cara memperkenalkan tabiat sihat kepada anak-anak.

“Kami mahu setiap usaha Eskayvie membawa manfaat yang boleh dirasai dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Kay turut berkongsi rasa syukur apabila menerima pengiktirafan Nona 5 Inspiring in Leadership baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai penghargaan bukan sahaja buat dirinya, malah seluruh komuniti usahawan Eskayvie.

Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan usahawan syarikat itu terdiri daripada wanita dan berharap lebih ramai daripada mereka berpeluang menerima pengiktirafan atas usaha serta pencapaian masing-masing.

Baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar tentang sejauh mana sesebuah perniagaan berkembang, tetapi berapa ramai insan yang dapat dibantu untuk mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

Siri animasi OWI boleh ditonton secara percuma menerusi saluran YouTube OWI Official, manakala koleksi barangan rasminya boleh didapati melalui laman web www.eskayvie.com.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat