SERIAN – Pembinaan jalan raya berkembar yang menghubungkan Serian dengan Gedong dan Samarahan akan memendekkan perjalanan serta memudahkan penduduk Serian mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan mengakses institusi pendidikan di Samarahan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata laluan baharu itu juga akan menghubungkan ekonomi Serian dengan wilayah Greater Kuching dan membuka akses ke kawasan pembangunan Tanjung Embang di Kota Samarahan.
“Kita ada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sana selain Pusat Jantung Samarahan dan juga pusat penyelidikan di Samarahan. (Jadi) ia lebih dekat dengan Serian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Sarawakku Sayang (SKS) siri ke-10 di sini pada 21 November.
Abang Johari berkata projek jalan raya itu sebahagian daripada gelombang kedua pembangunan mampan yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi Bahagian Serian. Pembangunan itu akan digerakkan melalui kerjasama sektor awam dan swasta dengan memanfaatkan potensi ekonomi serta kedudukan strategik Serian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kawasan Tasik Danu di Serian dirancang untuk diindahkan semula, dengan projek itu akan disepadukan dengan pembangunan bangunan dan kemudahan perhotelan.
Katanya, projek tersebut sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memperkukuh sektor pelancongan di Serian.



