KUALA LUMPUR – Isu perubahan iklim, kepupusan spesies haiwan dan fenomena cuaca ekstrem menjadi inspirasi kepada pelukis kelahiran Sarawak, Syul Hezri, untuk menghasilkan karya seni yang mengajak masyarakat lebih prihatin terhadap masa depan alam sekitar.
Menerusi pameran seni solo bertajuk Ambil Peduli… Let’s Protect Our Future, Syul mengetengahkan pelbagai karya lukisan yang menggambarkan kesan perubahan iklim terhadap kehidupan manusia, haiwan dan keseimbangan ekosistem dunia.
Pameran yang berlangsung dari 18 hingga 28 November 2026 di Yunus Emre Enstitüsü Kuala Lumpur itu dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Türkiye di Malaysia bersempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31) di Antalya, Türkiye.
Majlis pelancaran pameran berkenaan telah disempurnakan oleh Duta Türkiye ke Malaysia, Dr Nevzat Uyanik, bersama Pengarah Yunus Emre Enstitüsü Kuala Lumpur, Dr Omer Altun, pada Rabu.
Pameran itu merupakan usaha menggunakan seni visual sebagai medium meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman perubahan iklim yang semakin memberi kesan kepada kehidupan sejagat.
Menurut Syul, karya-karya yang dipamerkan bukan sekadar menampilkan keindahan seni lukisan, sebaliknya membawa mesej mengenai tanggungjawab bersama untuk melindungi alam sekitar demi generasi akan datang.
Antara isu yang diketengahkan termasuk ancaman kepupusan spesies haiwan, perubahan ekosistem dan kejadian iklim ekstrem yang semakin membimbangkan.
Setiap karya mengajak pengunjung merenung hubungan manusia dengan alam semula jadi serta memikirkan tindakan yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan kerosakan alam sekitar.
Pameran itu turut mengetengahkan tema Sustaining What Sustains Us, yang membawa mesej bahawa manusia perlu memelihara alam semula jadi yang menjadi asas kelangsungan kehidupan.
Kerjasama antara Syul, Yunus Emre Enstitüsü Kuala Lumpur dan Kedutaan Türkiye di Malaysia itu juga memperlihatkan peranan diplomasi kebudayaan dalam mengangkat isu global melalui pendekatan seni.
Yunus Emre Enstitüsü merupakan institusi kebudayaan Türkiye yang berperanan memperkenalkan bahasa, seni dan warisan negara itu kepada masyarakat antarabangsa.
Syul, yang berasal dari Kuching, Sarawak, mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam penghasilan karya seni, khususnya lukisan menggunakan cat minyak di atas kanvas atau oil on canvas.
Beliau turut memiliki kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Malaya dan pernah membina kerjaya dalam sektor korporat sebelum memberikan tumpuan lebih luas kepada bidang seni.
Walaupun telah lama berkarya, Syul hanya mula memperkenalkan hasil seninya secara aktif menerusi pameran sejak tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, beliau telah menyertai lebih 10 pameran seni, termasuk dua pameran di London pada tahun lalu.
Pengalaman mengembara ke pelbagai bandar utama dunia serta mengunjungi muzium dan galeri seni antarabangsa menjadi antara sumber inspirasi penting dalam penghasilan karya beliau.
Salah satu keunikan pendekatan Syul ialah penggunaan objek dan tulisan tersembunyi dalam lukisannya bagi menyampaikan mesej serta penceritaan yang lebih mendalam.
Elemen berkenaan diterapkan dalam pelbagai bentuk karya, termasuk lukisan figuratif, objek dan landskap, sekali gus menggalakkan pengunjung meneliti setiap hasil seni daripada pelbagai perspektif.
Melalui pendekatan itu, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati keindahan visual, malah digalakkan mencari makna dan mesej yang tersirat di sebalik setiap karya.
Pameran Ambil Peduli… Let’s Protect Our Future dibuka kepada pengunjung di Yunus Emre Enstitüsü Kuala Lumpur, No. 118, Jalan U Thant, Taman U Thant, Kuala Lumpur, sehingga 28 November ini.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai karya Syul menerusi laman sesawang galerisenikita.com atau Instagram @syulhezri dan @galeri.senikita. – Suara.TV



