Siapa nyahklasifikasi minit pengampunan Najib? – Umno tuntut penjelasan

KUALA LUMPUR – Umno menggesa pihak bertanggungjawab memberikan penjelasan rasmi berhubung status penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penjelasan itu perlu merangkumi status pengelasan semula dokumen berkenaan, termasuk tarikh keputusan dibuat dan pihak yang bertanggungjawab meluluskannya.

Beliau berkata, Umno turut mahu penjelasan mengenai asas kuasa, tatacara yang dipatuhi serta tujuan pengelasan semula dokumen berkenaan.

“Adakah minit berkenaan telah dikelaskan semula secara rasmi? Jika ya, bilakah keputusan itu dibuat dan siapakah yang membuatnya?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Umno mempersoalkan sama ada salinan dokumen yang kini tersebar kepada umum benar-benar sepadan dengan rekod rasmi.

Menurut Azalina, penjelasan juga perlu diberikan sama ada penyahklasifikasian itu meliputi keseluruhan minit mesyuarat termasuk lampiran berkaitan atau hanya bahagian tertentu.

Pun begitu, Umno mengambil maklum kenyataan Tony Pua bahawa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat Najib telah dinyahklasifikasikan, selain perkongsian beberapa halaman yang dikatakan sebahagian daripada dokumen berkenaan.

Pada 12 November lalu, Menteri Dalam Negeri menyatakan di Dewan Rakyat bahawa beliau bersedia membawa cadangan penyahklasifikasian itu kepada Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November, jurucakap kerajaan memaklumkan cadangan itu belum dibangkitkan secara langsung dan prosesnya sedang diatur dengan mengambil kira keperluan undang-undang.

Azalina berkata, bagi dokumen berstatus rahsia rasmi, keputusan untuk mengelaskannya semula hendaklah dibuat oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 mengikut tatacara ditetapkan.

“Umno menegaskan bahawa ketelusan dalam pengendalian rekod Lembaga Pengampunan mesti berjalan seiring dengan pematuhan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menegaskan Umno menghormati kedudukan Lembaga Pengampunan serta menjunjung kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat