Citaglobal, TNB GENCO dan TIZA AI teroka bekalan elektrik 1,300 MW untuk pusat data AI di Gebeng

KUALA LUMPUR – Citaglobal Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal New Energy Sdn Bhd (CGNE), menjalin kerjasama dengan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO) dan TIZA AI Sdn Bhd bagi meneroka pembangunan penyelesaian bekalan elektrik luar grid berkapasiti sehingga 1,300 megawatt (MW) untuk projek taman pusat data kecerdasan buatan (AI) di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Isnin bagi membangunkan penyelesaian bekalan tenaga khusus untuk cadangan projek AI Data Centres & Digital Infrastructure Park yang akan dibangunkan TIZA AI di kawasan perindustrian Gebeng.

Menurut kenyataan media Citaglobal, projek berkenaan dirancang di atas tanah seluas 247 ekar milik kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Citaglobal Property Development Sdn Bhd, yang menyelesaikan pengambilalihan tanah tersebut pada 30 Januari 2026.

TIZA AI telah memperoleh kelulusan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) yang dimaklumkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 7 September lalu, dengan syarat keperluan elektrik sehingga 1,300 MW bagi taman pusat data itu dipenuhi menerusi bekalan luar grid.

Di bawah kerjasama berkenaan, TNB GENCO akan menerajui pembangunan penyelesaian bekalan elektrik dengan memanfaatkan kepakarannya dalam pembangunan, pembinaan dan pengoperasian kemudahan penjanaan tenaga.

CGNE pula akan menyumbang kepakaran dalam tenaga boleh baharu dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) menerusi jenama tempatannya, MYBESS, selain keupayaan pembangunan projek termasuk urusan kelulusan kawal selia serta penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan.

Penyelesaian bekalan elektrik yang sedang diteroka itu berpotensi menggabungkan penjanaan tenaga berasaskan gas, tenaga solar fotovolta dan sistem penyimpanan tenaga bateri, dengan kemudahan dibangunkan di dalam atau berhampiran kawasan taman pusat data berkenaan.

Bagaimanapun, gabungan teknologi, kapasiti penjanaan, bekalan bahan api dan pelaksanaan projek secara berfasa masih tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal serta TIZA AI, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kelulusan pembangunan taman pusat data itu mencerminkan keyakinan terhadap potensi Pahang sebagai destinasi baharu infrastruktur AI negara.

“Kami berterima kasih kepada Pasukan Petugas Pusat Data yang dipengerusikan bersama oleh MITI dan Kementerian Digital kerana meluluskan Taman Pusat Data AI Gebeng dengan permintaan elektrik maksimum sehingga 1,300 MW.

“Kelulusan ini merupakan satu tanda keyakinan yang kukuh terhadap Pahang sebagai kawasan pembangunan baharu infrastruktur AI Malaysia,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata, Pahang mempunyai kelebihan dari segi ketersediaan tanah, sumber air dan kemudahan logistik strategik, termasuk Pelabuhan Kuantan, cadangan lapangan terbang antarabangsa baharu serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, pembangunan taman pusat data AI itu juga berpotensi menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran serta membuka ruang penyertaan kontraktor, pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Citaglobal dan TIZA AI turut berhasrat membangunkan bakat tempatan serta ekosistem AI dan digital di sekitar Gebeng supaya manfaat pembangunan berkenaan dapat dinikmati masyarakat dan ekonomi Pahang.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, kesiapsiagaan tenaga perlu berkembang seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital negara.

“Ketika Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab digital dan AI serantau, kesiapsiagaan tenaga perlu berkembang seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital negara.

“Di TNB, tanggungjawab kami bukan sekadar memenuhi permintaan elektrik semasa, tetapi turut menjangkakan keperluan masa depan dan menyediakan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai, berdaya tahan serta mampu dikembangkan bagi menyokong pertumbuhan industri baharu,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama menerusi TNB GENCO membolehkan syarikat itu memanfaatkan kepakaran penjanaan tenaga untuk meneroka penyelesaian tenaga bersepadu yang mengimbangi aspek kebolehpercayaan, kemampuan kos dan kelestarian.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Citaglobal, Datuk Aimi Aizal Nasharuddin berkata, pemilikan tanah strategik di Gebeng meletakkan Citaglobal pada kedudukan penting dalam pembangunan projek berkenaan.

Menurutnya, kerjasama itu turut membuka peluang kepada perniagaan tenaga baharu kumpulan untuk berkembang dalam segmen bekalan elektrik khusus bagi pusat data.

CGNE akan memanfaatkan keupayaan MYBESS bagi melengkapi kepakaran penjanaan tenaga TNB GENCO, selain berpotensi menyediakan sumber pendapatan berulang jangka panjang kepada Citaglobal menerusi pembekalan elektrik sekiranya projek dilaksanakan.

Sementara itu, TIZA AI yang bertindak sebagai pemaju cadangan taman pusat data berkenaan akan menyediakan profil permintaan elektrik, keperluan kebolehpercayaan bekalan serta perancangan pembangunan secara berfasa.

Syarikat itu juga akan menyelaras urusan dengan rakan pembangunan bersama, kerajaan negeri Pahang dan pihak berkuasa Persekutuan yang berkaitan.

TIZA AI kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa bakal pengendali pusat data berskala besar serta rakan pembangunan yang menyatakan minat untuk membangunkan kemudahan di taman pusat data berkenaan.

MoU yang dimeterai mempunyai tempoh sah selama setahun dan menyediakan kerangka bagi ketiga-tiga pihak menjalankan kajian kebolehlaksanaan serta merundingkan perjanjian muktamad.

Bagaimanapun, MoU itu belum mewujudkan komitmen untuk membangunkan kemudahan atau membekalkan dan membeli tenaga elektrik.

Pelaksanaan projek masih tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan, penelitian wajar, perjanjian muktamad serta kelulusan lembaga pengarah, pemegang saham dan pihak berkuasa kawal selia yang diperlukan.

Butiran termasuk jumlah pelaburan, pembiayaan, kapasiti penjanaan akhir, tarif elektrik dan terma pembelian bekalan juga masih belum dimuktamadkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat