Apabila suara gemilang mula dilupai, “BANGKIT” hadir menyalakan kembali cahaya seni

Dalam dunia seni yang tidak pernah berhenti berputar, ada nama yang suatu ketika dahulu bergema di corong radio, menghiasi pentas persembahan dan meniti di bibir peminat, namun perlahan-lahan tenggelam dibawa arus perubahan zaman.

Bukan kerana suara mereka kehilangan keindahan, bukan juga kerana bakat sudah pudar, tetapi adakalanya perjalanan seorang anak seni terhenti di persimpangan apabila peluang semakin menjauh dan perhatian mula beralih kepada wajah-wajah baharu.

Di sebalik gemerlapan industri muzik, masih ada penyanyi yang menyimpan seribu satu cerita perjuangan. Mereka pernah merasa manisnya kejayaan, mengenal erti tepukan gemuruh dan berdiri di pentas impian, namun masa turut mengajar bahawa mempertahankan tempat dalam industri bukanlah perjalanan yang mudah.

Menyedari hakikat itu, The Vazz Society tampil dengan inisiatif BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni, sebuah usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mahu memberikan ruang kedua kepada penyanyi berpengalaman untuk kembali memperkenalkan bakat dan karya mereka kepada khalayak.

Berlangsung di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH), kempen sulung itu mengetengahkan tiga nama dengan perjalanan seni yang berbeza iaitu Sahri, Pija Yasin dan Fatin Faishal. Tiga individu ini mungkin datang daripada generasi dan pengalaman berlainan, namun masing-masing membawa satu persamaan, iaitu semangat untuk terus hidup dalam dunia seni yang pernah menjadi sebahagian besar perjalanan mereka.

BANGKIT bukan sekadar sebuah pentas untuk mengulang kenangan silam atau mengimbau populariti yang pernah dikecapi. Lebih daripada itu, ia menjadi jambatan untuk menghubungkan semula bakat yang pernah menyinar dengan industri yang sentiasa memerlukan suara, kreativiti dan keaslian.

Bagi Sahri, perjalanan seninya bermula dengan langkah yang cukup bermakna menerusi program Akademi Fantasia musim pertama (AF1), apabila beliau berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

Namanya turut mempunyai sejarah tersendiri menerusi lagu Izinku Pergi yang dipersembahkan bagi menggantikan Kaer di pentas Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) pada 2007. Lagu berkenaan berjaya merangkul kemenangan dalam kategori Balada, sekali gus menjadi antara detik penting yang mewarnai perjalanan seni Sahri.

Namun, seperti roda kehidupan yang tidak selamanya berada di atas, perjalanan Sahri turut melalui fasa suram apabila tawaran nyanyian semakin berkurangan. Keadaan itu mendorongnya mengalihkan perhatian kepada bidang produksi televisyen, sekali gus membawa dirinya melalui laluan kerjaya yang berbeza daripada dunia nyanyian.

Walaupun begitu, kecintaan terhadap muzik tidak pernah benar-benar pergi. Ada suara yang mungkin lama tidak didengari, tetapi semangat untuk kembali menyanyi tetap tersimpan. Menerusi BANGKIT, Sahri sekali lagi diberikan ruang untuk memperlihatkan kemampuan vokalnya dan menghidupkan semula hubungan dengan dunia seni.

Berbeza pula dengan Pija Yasin yang pernah mengecapi kejayaan sebagai juara sulung program Mentor terbitan TV3 pada 2005 di bawah bimbingan penyanyi Zainal Abidin.

Kemenangan itu menjadi pintu pembuka kepada perjalanan seninya, malah bakat Pija turut membawanya melangkah lebih jauh apabila berpeluang menyertai pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) serta Asia’s Got Talent bersama kumpulan The 15.

Di sebalik pencapaian tersebut, perjalanan Pija bukanlah sentiasa dihiasi bunga dan tepukan. Beliau turut melalui pengalaman pahit termasuk pernah berdepan penipuan ketika menguruskan kerjaya seninya.

Namun, pengalaman lalu tidak memadamkan impian untuk terus berada dalam bidang nyanyian. Pija tetap mencari ruang untuk mengembangkan bakat, membuktikan bahawa seseorang penyanyi tidak seharusnya mengukur masa depan berdasarkan populariti yang pernah dimiliki.

Sementara itu, Fatin Faishal membawa kisah perjuangan daripada sudut berbeza. Namanya pernah diperkenalkan menerusi program Lagu Cinta Kita musim kedua dan All Together Now Malaysia, namun perjalanan membina nama dalam industri muzik masih memerlukan usaha yang panjang.

Fatin tidak sekadar bergantung kepada pengalaman menyertai program realiti, sebaliknya terus berusaha menghasilkan karya sendiri. Setakat ini, beliau sudah merakamkan empat single dengan kerjasama komposer berpengalaman termasuk Amylea dan Audi Mok.

Bagaimanapun, kekurangan peluang promosi menjadi antara cabaran utama untuk memastikan karya yang dihasilkan mendapat perhatian lebih luas.

Dalam dunia muzik yang begitu kompetitif, memiliki suara yang baik dan lagu berkualiti sahaja kadangkala belum mencukupi. Tanpa ruang untuk diperkenalkan, sesebuah karya boleh sahaja berlalu tanpa sempat meninggalkan kesan kepada pendengar.

Justeru, penyertaan Fatin dalam BANGKIT menjadi peluang untuk membuka lembaran baharu, memperkenalkan semula dirinya kepada penggiat industri serta mencari ruang agar karya yang dihasilkan tidak terus tersimpan tanpa didengari.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan KLIH, Muhammad Zairee Izwan Zahir berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan The Vazz Society dalam menjayakan kempen berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha mengangkat bakat seni berkualiti di negara ini.

Menurutnya, lokasi KLIH di kawasan Chow Kit turut mempunyai nilai sejarah yang cukup dekat dengan perjalanan industri hiburan tanah air.

“Pasti semua masih ingat di lokasi sama KLIH bertapak ini iaitu Chow Kit, lokasi bersejarah penghibur legenda Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad pernah membuat persembahan pada April 1986 dengan kehadiran kira-kira 100,000 orang.

“Signifikannya, kami di KLIH bersedia bersama-sama menyokong industri seni di negara ini termasuk menjadi lokasi bagi acara yang sesuai,” katanya.

KLIH yang kini tampil dengan wajah baharu turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk penganjuran acara, selain mempunyai kedudukan strategik di tengah Kuala Lumpur yang menyimpan pelbagai kisah dan kenangan dalam perkembangan dunia hiburan negara.

Sokongan terhadap kempen itu turut dizahirkan Suria FM menerusi kehadiran Pengurus Besarnya, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin.

Beliau melihat BANGKIT sebagai satu usaha murni yang mampu mengingatkan semula masyarakat terhadap bakat penyanyi yang masih mempunyai kemampuan dan nilai tersendiri dalam industri muzik.

“Saya percaya kempen ini mampu mengingatkan kembali kita semua pada bakat nyanyian yang berkualiti seperti Sahri, Pija dan Fatin,” katanya.

Sesungguhnya, BANGKIT membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar memberikan peluang kepada tiga penyanyi untuk kembali berdiri di hadapan khalayak. Ia menyentuh tentang tanggungjawab bersama dalam memelihara bakat seni agar tidak terus tenggelam hanya kerana perubahan selera dan landskap industri.

Dalam mengejar kemunculan nama baharu, tidak seharusnya dilupakan mereka yang pernah menyumbangkan suara, tenaga dan kreativiti dalam mewarnai industri muzik tempatan. Pengalaman yang dimiliki juga merupakan satu nilai yang tidak mampu dibeli, manakala kematangan seseorang penyanyi sering hadir daripada perjalanan panjang yang penuh liku.

Sebab itu, sokongan daripada penggiat industri, stesen radio, pihak media, sektor korporat dan masyarakat amat diperlukan bagi membuka lebih banyak ruang kepada penyanyi berpengalaman untuk terus berkarya.

Bagi Sahri, Pija dan Fatin, BANGKIT mungkin menjadi satu lagi permulaan. Bukan untuk mengejar kembali bayang-bayang kegemilangan silam, tetapi membuktikan bahawa perjalanan seni masih boleh diteruskan selagi pintunya belum tertutup.

Kerana dalam dunia seni, suara mungkin boleh sepi, nama mungkin boleh dilupakan dan pentas mungkin berubah wajah, namun bakat yang lahir daripada jiwa tidak pernah benar-benar padam.

Ada kalanya, yang diperlukan hanyalah sebuah peluang untuk kembali menyala.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat