Di sebalik senyuman yang terukir dan jawapan ringkas “Saya okay”, ada kalanya tersimpan seribu satu rasa yang sukar diluahkan. Ada yang memilih untuk berdiam diri, ada yang menyembunyikan kesedihan, malah tidak kurang juga yang terus berpura-pura kuat kerana bimbang tidak difahami.
Hakikat inilah yang cuba disampaikan menerusi sebuah siri mini vertikal terbaharu berjudul I’m Not Okay, Cikgu!, sebuah naskhah yang membawa penonton menyelami dunia emosi golongan muda, khususnya dalam menghadapi tekanan dan cabaran kesihatan mental.
Dengan sokongan Yayasan Hasanah, siri ini telah diperkenalkan menerusi tayangan perdana di GSC, The Starling Mall pada 14 November lalu, yang menghimpunkan pelajar sekolah, guru, ibu bapa serta penggerak kesihatan mental.
Menariknya, naskhah ini bukan sekadar mahu membuka mata masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mental, sebaliknya mengajak penonton untuk lebih peka terhadap perubahan emosi orang di sekeliling, terutama dalam kalangan remaja yang mungkin sedang bergelut dengan sesuatu yang tidak mampu mereka ungkapkan.
Isu ini bukan perkara kecil untuk dipandang sebelah mata. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kadar prevalens kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 16 hingga 19 tahun direkodkan sebanyak 7.9 peratus, iaitu paling tinggi berbanding kumpulan umur lain.
Angka tersebut cukup untuk mengingatkan kita bahawa di sebalik usia yang masih muda, mereka juga berdepan tekanan, keresahan dan pergolakan emosi yang memerlukan perhatian sewajarnya.
Bagi Yayasan Hasanah, usaha menangani isu ini tidak seharusnya terhenti setakat memberi kesedaran. Lebih penting, golongan muda perlu diberikan ruang untuk mengenali emosi sendiri, memahami keadaan rakan sebaya dan mempunyai keberanian untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Puan Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, masalah yang dihadapi golongan muda tidak seharusnya dipandang ringan hanya kerana usia mereka masih muda.
Menurutnya, setiap perasaan yang dilalui mereka mempunyai nilai dan tidak sepatutnya dipendam semata-mata kerana mahu kelihatan baik-baik sahaja di hadapan orang lain.
Beliau berharap I’m Not Okay, Cikgu! dapat memberikan keyakinan kepada golongan muda untuk mengenali saat mereka memerlukan bantuan, selain menggalakkan mereka mengambil berat terhadap keadaan rakan-rakan.
Malah, langkah pertama untuk mendapatkan pertolongan mungkin bermula dengan keberanian mengakui bahawa diri sendiri sebenarnya sedang tidak baik-baik sahaja.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan golongan dewasa agar memainkan peranan dengan menjadi pendengar yang baik. Apabila anak-anak atau remaja datang berkongsi masalah, berikan mereka ruang untuk meluahkan perasaan tanpa memperkecilkan apa yang sedang dilalui atau terlalu cepat menghukum.
Kadangkala, seseorang tidak memerlukan jawapan yang panjang untuk menyelesaikan masalahnya. Cukuplah dengan kehadiran insan yang sudi mendengar tanpa membuatkan mereka berasa keseorangan.
Siti Kamariah turut menegaskan bahawa perkembangan seseorang anak tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik dan keputusan peperiksaan semata-mata. Kesejahteraan emosi, perkembangan peribadi serta kemampuan mengharungi cabaran kehidupan juga merupakan sebahagian daripada kejayaan yang perlu diberikan perhatian.
Menerusi lima jalan cerita berbeza, siri ini membawa penonton mengenali watak-watak di sebuah sekolah fiksyen bernama Sekolah Integrasi Damai. Setiap kisah mengetengahkan situasi dan cabaran peribadi yang dekat dengan kehidupan golongan muda, sekali gus memberikan gambaran bahawa setiap individu mempunyai perjuangan tersendiri yang mungkin tidak terlihat pada pandangan mata kasar.

Siri ini menampilkan barisan pelakon seperti Mira Filzah, Waheeda Wassini, Mia Sara Shauki, Zul Zamir, Jun Vinh Teoh, Meer Nash dan Syafiqah A. Pohan. Turut menyerikan naskhah ini ialah bakat-bakat muda Nurul Irdina, Raisya El dan Irsyad Anakib.
Penggunaan format vertikal pula dilihat sebagai pendekatan yang sesuai dengan tabiat tontonan generasi hari ini yang lebih banyak menghabiskan masa melalui telefon pintar. Dengan penyampaian yang ringkas dan dekat dengan dunia digital, mesej mengenai kesihatan mental diharap dapat sampai kepada lebih ramai penonton, khususnya golongan muda.
Dibangunkan dan diterbitkan oleh Folklore Studio selepas melalui sesi pencarian terbuka oleh Yayasan Hasanah, siri ini ditulis dan diarahkan oleh Nell Hanan, manakala penerbitannya turut dikendalikan bersama Zul Zamir.
Selain kekuatan jalan cerita, I’m Not Okay, Cikgu! turut hadir dengan runut bunyi asli berjudul Peluk Diri Kecil Kita, hasil ciptaan Nabil Wahab, dengan sinematografi oleh Zulkarnain Zuber.
Walaupun lima kisah ini tidak mungkin dapat menggambarkan keseluruhan cabaran kesihatan mental yang dihadapi golongan muda, sekurang-kurangnya ia mampu menjadi permulaan kepada perbualan yang selama ini mungkin sukar untuk dimulakan.
Kerana hakikatnya, tidak semua yang kelihatan ceria benar-benar sedang bahagia. Ada yang hanya menunggu seseorang bertanya dengan ikhlas, “Kamu betul-betul okay?”
I’m Not Okay, Cikgu! boleh ditonton menerusi akaun Instagram rasmi @yayasan_hasanah dan @folklorestudioarts bermula 16 November 2026.
Orang ramai turut digalakkan untuk menonton dan berkongsi siri ini agar mesej yang dibawakan tidak terhenti di layar telefon, sebaliknya diteruskan dalam kehidupan seharian.
Kerana kadangkala, satu pertanyaan kecil, satu ruang untuk bercerita dan sepasang telinga yang sudi mendengar mampu menjadi permulaan kepada perubahan besar dalam kehidupan seseorang.



