MELAKA- Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka mampu memenangi 25 daripada 28 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Sabtu ini.
Tanpa memperincikan kerusi bakal dimenangi, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, jangkaan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa, termasuk masalah dalaman Pakatan Harapan (PH).
“Kalau melihat suasana politik sekarang, saya yakin dalam suasana kecelaruan politik sedang berlaku, antaranya masalah dalaman PH, kita menjangkakan silap-silap hari bulan, kita boleh menang 25 daripada 28 kerusi.
“Kalau dengan izin Allah, insya-Allah mohon menang 21 (kerusi) dan (hasil) sumbangan daripada rakan kita mungkin kita boleh capai sampai 25 kerusi,” katanya ketika berucap pada program Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Jentera BN DUN Taboh Naning menurut BH pada Khamis.
Yang turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Ab Rauf ketika ditemui media berkata, jangkaan keputusan itu dipengaruhi kecelaruan politik mendorong rakyat meluahkan rasa tidak puas hati
“Beberapa kes semasa ini kita lihat kesempatan ini diambil rakyat untuk meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap langkah-langkah diambil pihak sebelah sana, seolah-olah tidak menghormati keputusan diputuskan Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau rakyat berfikir kita yang paling baik, maka pilihlah antara yang terbaik untuk kebaikan kita bersama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf turut menzahirkan keyakinan dengan kemampuan BN untuk memenangi kerusi DUN Taboh Naning hasil kerjasama erat jentera kedua-dua gabungan.
“Saya lihat kombinasi jentera antara rakan-rakan BN dan PN memberikan satu keyakinan begitu baik bahawa pastinya, insya-Allah, pada 14 hari bulan ini, Taboh Naning akan menyumbang satu kerusi,” katanya.



