Kadir Jasin gesa SPRM siasat sumber RM50 juta bayar denda Najib

KUALA LUMPUR – Tokoh wartawan negara, Datuk A. Kadir Jasin menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sumber sebenar dana RM50 juta yang digunakan bagi membayar denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu.

Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan bagi memastikan wang berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan individu atau syarikat yang pernah memperoleh kontrak dan konsesi bernilai berbilion ringgit ketika pentadbiran Najib.

Kadir turut mempersoalkan identiti penyumbang utama dana tersebut, meskipun UMNO dilaporkan telah menggerakkan kutipan melalui Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu menjelaskan denda berkenaan.

Menerusi tulisan bertajuk *Jejak Duit Denda RM50 Juta*, beliau membangkitkan kemungkinan wujud sumbangan daripada ahli perniagaan yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan Najib, termasuk mereka yang mendapat manfaat daripada urus niaga bersama agensi kerajaan.

Menurut Kadir, beliau terbaca satu hantaran media sosial yang mengaitkan pembayaran denda RM50 juta itu dengan ahli perniagaan Indonesia, Peter Sondakh.

Hantaran tersebut mendakwa wang yang dibayar oleh UMNO bagi pihak Najib sebenarnya berasal daripada Sondakh.

Bagaimanapun, Kadir mengakui tidak dapat dipastikan sama ada dakwaan itu berasaskan maklumat sahih atau sekadar spekulasi.

“Sama ada pemilik akaun media sosial itu menembak dalam gelap atau mempunyai maklumat sahih, perbuatannya mengaitkan pembayaran denda itu dengan Sondakh adalah sangat menarik,” katanya.

Menurut beliau, hubungan rapat antara Najib dan Sondakh serta sejarah urus niaga membabitkan agensi kerajaan Malaysia menjadikan persoalan tersebut sesuatu yang wajar diberikan perhatian.

Kadir mendakwa Sondakh pernah memperoleh pembiayaan dan peluang perniagaan bernilai berbilion ringgit melalui Felda, Khazanah Nasional Berhad dan Bank Pembangunan Malaysia ketika Najib menerajui kerajaan.

Beliau turut merujuk kepada pembelian 37 peratus kepentingan dalam Eagle High Plantations Tbk oleh Felda pada 2017 dengan nilai AS$505.4 juta atau kira-kira RM2.26 bilion ketika itu.

Menurut Kadir, harga pembelian tersebut adalah antara 95 hingga 344 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran saham syarikat berkenaan di Bursa Saham Indonesia.

Beliau mendakwa urus niaga itu telah menyebabkan Felda menanggung kerugian yang dianggarkan RM2.5 bilion.

“Kolaborasi Mohd Najib-Sondakh inilah yang membebankan Felda sampai hari ini,” katanya.

Kadir turut merujuk laporan media ekonomi antarabangsa yang menurutnya menggambarkan pembelian saham Eagle High sebagai satu bentuk operasi menyelamatkan syarikat berkenaan dan kumpulan induknya, Rajawali Group, yang ketika itu menanggung beban hutang besar.

Selain urus niaga Eagle High, beliau turut membangkitkan kerjasama perniagaan Sondakh dengan Kementerian Kewangan Malaysia bagi pembangunan kompleks hotel mewah St Regis di Langkawi.

Menurutnya, projek tersebut mendapat pinjaman RM300 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia ketika Najib turut memegang jawatan Menteri Kewangan.

Kadir juga menyentuh pertikaian undang-undang antara Felda dengan pihak berkaitan Eagle High berhubung perjanjian pembelian semula saham atau *put option*, termasuk prosiding timbang tara di Singapura dan tindakan mahkamah di Indonesia.

Beliau berpandangan, berdasarkan skala urus niaga yang pernah melibatkan Sondakh dengan agensi kerajaan Malaysia, ahli perniagaan berkenaan mempunyai kemampuan kewangan untuk membantu membayar denda Najib sekiranya mahu berbuat demikian.

Namun, Kadir tidak mengemukakan bukti bahawa Sondakh benar-benar menyumbang kepada pembayaran denda RM50 juta tersebut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan siasatan tidak seharusnya tertumpu kepada Sondakh semata-mata kerana terdapat kemungkinan wang berkenaan datang daripada ahli perniagaan lain yang pernah memperoleh kontrak atau konsesi besar ketika era Najib.

“Boleh jadi ia bukan daripada Sondakh tapi tauke-tauke lain yang juga mendapat kontrak dan konsesi berbilion-bilion ringgit daripada Mohd Najib,” katanya.

Kadir turut menyenaraikan beberapa projek mega yang dilaksanakan ketika pentadbiran Najib, termasuk Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP), Multi-Product Pipeline (MPP), Bandar Malaysia, MRT, LRT, ECRL, TRX, Menara 118, Pusat Bandar Damansara, Lebuhraya Rentas Borneo dan Malaysia-China Industrial Park.

Beliau secara khusus membangkitkan kontroversi projek TSGP dan MPP yang menurutnya hanya mencapai sekitar 13 peratus kemajuan kerja walaupun 88 peratus daripada nilai kontrak telah dibayar.

Nilai pembayaran yang dipersoalkan bagi kedua-dua projek tersebut, menurut Kadir, melibatkan jumlah antara RM8.3 bilion hingga RM9.4 bilion.

Bagaimanapun, beliau mengakui sebahagian projek besar yang dilaksanakan ketika pentadbiran Najib berjalan lancar.

Namun, Kadir berpandangan kemungkinan wujud unsur rasuah atau kepentingan tertentu dalam pemberian kontrak tidak boleh diketepikan tanpa penelitian sewajarnya.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan terdapat ahli perniagaan yang berasa terhutang budi kepada Najib atas peluang perniagaan yang diperoleh ketika pentadbirannya.

Sehubungan itu, Kadir menegaskan kerajaan yang membawa agenda antirasuah perlu memastikan sumber sebenar pembayaran denda RM50 juta tersebut dapat dikenal pasti.

“Dalam konteks inilah, Kerajaan Madani yang antisakau wajib melakukan siasatan bagi memastikan sumber duit denda RM50 juta itu,” katanya.

Menurut beliau, walaupun pembayaran dibuat melalui UMNO, perkara itu tidak seharusnya menghalang pihak berkuasa daripada meneliti aliran wang dan identiti penyumbang sebenar.

“Hatta kalau UMNO sekali pun yang membayar denda itu, pihak-pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara wajar menyiasat bagi memastikan jejak wang (*money trail*) RM50 juta itu,” tegasnya.

Pada 6 November lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan Tabung Solidariti Najib Razak telah mencapai sasaran kutipan RM50 juta dan akaun tabung berkenaan ditutup.

Bagaimanapun, pengumuman itu tidak memperincikan identiti penyumbang utama atau jumlah sumbangan yang diberikan oleh setiap pihak.

Gesaan Kadir itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keperluan ketelusan sumber dana pembayaran denda berkenaan, khususnya bagi memastikan tiada unsur balasan kepentingan, penyalahgunaan kuasa atau hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Setakat ini, dakwaan yang mengaitkan Peter Sondakh dengan pembayaran denda tersebut belum disokong bukti transaksi yang dapat mengesahkan penglibatannya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat