Azalina anggap pemilihan perkataan Dajjal oleh Hadi sebagai keterlaluan

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sama seperti Dajjal sebagai keterlaluan.

Azalina berkata, banyak perkataan lain boleh digunakan Ahli Parlimen Marang itu bagi menyatakan ketidaksetujuan terhadap sesuatu perkara tanpa perlu menggunakan istilah yang boleh mencetuskan tafsiran melampau.

“Kalau dia memanggil Dajjal, saya rasa dialah kena berikan sebabnya. Saya tak boleh komen kerana saya bukan pakar agama. Kalau saya tak suka, banyak lagi perkataan saya boleh pakai kalau tak suka, tapi janganlah sampai ekstrem.

“Saya tengok definisi Dajjal tu adalah tanda yang turun masa nak kiamat. Adakah dia tahu bila kiamat nak berlaku?” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Pembaharuan Insolvensi Asia 2026, di W Kuala Lumpur, memetik BH pada Rabu.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan menyifatkan pemeteraian CSA sebagai satu ‘pendekatan Dajjal’ kerana dianggap mengkhianati amanah.

Beliau menegaskan bahawa negara seluruh dunia menerima amalan segala hasil negara menjadi hak rakyat, sama ada diperoleh secara langsung atau tidak.

Kerajaan Madani pada minggu lalu memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen mewakili Bersatu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam Ahli Parlimen Bebas.

Menerusi perjanjian itu, kesemua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan Madni sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting berkaitan Belanjawan 2027.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada mereka yang menandatangani CSA itu akan menerima peruntukan RM3juta setahun sama seperti Ahli Parlimen kerajaan, Azalina berkata pihaknya dimaklumkan begitu.

“Saya tidak tahu lanjut cuma saksi sahaja tetapi dimaklumkan kononnya sama dengan wakil rakyat kerajaan. Itu saya dimaklumkan tetapi perbincangan hanya dilakukan sesama mereka,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat