KUALA LUMPUR – Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak menggesa Komisioner Jeneral Penjara supaya memindahkan anak guam mereka dengan segera ke kediaman beliau di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Tetuan Shafee & Co dalam kenyataan media malam ini turut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya menarik balik “penangguhan sementara” itu dengan serta-merta.
“Perintah Seri Paduka Baginda mesti dilaksanakan hari ini.
“Pendirian anak guam kami berhubung kesan undang-undang perintah pengampunan secara keseluruhannya dan berhubung hukuman beliau kekal terpelihara, begitu juga segala hak beliau,” kata firma itu.
Menurut barisan peguam itu, mereka mewakili Najib merafak sembah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim atas titah yang dikeluarkan melalui Istana Negara pada jam pukul 11.45 pagi hari ini
“Titah tersebut menjawab setiap persoalan yang telah dibangkitkan oleh AGC.
“Perintah mahkamah tidak boleh mengubah titah -AGC kini bersandar kepada “Order of Discharge on Payment of Fine” (Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 6 November 2026. Perintah itu mesti dibaca secara keseluruhannya, bermula dengan tajuknya. Ia merupakan perintah yang dibuat berikutan pembayaran denda, dan pelepasan yang dibenarkannya terbit daripada pembayaran itu, sebagaimana yang tercatat dalam resital perintah itu sendiri: “And whereas the said fine … has now been paid” (dan bahawasanya denda tersebut … kini telah pun dibayar).
“Di sisi undang-undang, pembayaran denda melepaskan liabiliti untuk membayar denda itu. Pembayaran itu, dengan sendirinya, tidak boleh menamatkan hukuman pemenjaraan. Perintah yang sama turut merekodkan bahawa anak guam kami hendaklah menjalani hukuman secara tahanan di rumah selaras dengan Perintah Pengampunan, sebagaimana yang diakui sendiri oleh AGC pada 6 November 2026.
“Walau apa pun, perintah pengampunan merupakan pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42. Kuasa itu milik Seri Paduka Baginda semata-mata. Tiada mana-mana mahkamah, apatah lagi Peguam Negara, yang berhak membuka semula cara Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa itu setelah Baginda menerima nasihat Lembaga Pengampunan, yang turut disertai secara aktif oleh Peguam Negara sendiri. Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa Perintah Pengampunan adalah jelas.
“Perintah mahkamah yang dikeluarkan bagi melaksanakan Perintah Pengampunan, setelah pembayaran denda RM50 juta direkodkan, tidak boleh menukar titah yang jelas itu menjadi sesuatu yang lain, dan tiada apa-apa tafsiran terhadap perintah mahkamah itu yang boleh mengatasi apa yang telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda dengan sejelas-jelasnya,” kata firma itu.
Menurut barisan peguam itu lagi, AGC telah mengeluarkan satu lagi kenyataan media pada pukul 12.42 tengah hari ini, 57 minit selepas titah dikeluarkan.
“Kenyataan itu langsung tidak menyebut titah tersebut. Sejak titah dikeluarkan, AGC masih belum menarik balik kenyataannya bertarikh 6 November 2026, dan belum juga mengumumkan bahawa “penangguhan sementara” itu telah ditarik balik. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, anak guam kami Najib, masih berada di Penjara Kajang dan Titah Seri Paduka Baginda nampaknya masih belum dilaksanakan.
“Dalam pada itu, AGC menyatakan bahawa pihaknya “kekal komited untuk menjunjung dan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong”.
“Seri Paduka Baginda kini telah bertitah. Hanya ada satu cara untuk AGC menunaikan komitmen itu, iaitu dengan membenarkan Titah dilaksanakan hari ini. Apa jua yang mungkin dipilih oleh AGC untuk dibawa ke mahkamah, AGC tidak boleh terus menahan anak guam kami di Penjara Kajang sementara itu.
“Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan Perintah Pengampunan adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Baginda. Kenyataan AGC pada pukul 12.42 tengah hari itu hendaklah dibaca sebagai keingkaran yang nyata terhadap Titah Seri Paduka Baginda,” tegas firma berkenaan.



