MCMC giat tingkat liputan 4G, 5G sepanjang jajaran ECRL menjelang operasi rasmi

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempergiat usaha penambahbaikan liputan rangkaian 4G dan 5G di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 bagi memastikan penumpang menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti apabila projek pengangkutan strategik itu mula beroperasi.

Usaha tersebut turut melibatkan penilaian tahap kesiapsiagaan infrastruktur telekomunikasi, khususnya bagi memastikan pengguna dapat menikmati sambungan Internet dan perkhidmatan panggilan suara tanpa gangguan sepanjang perjalanan, termasuk ketika tren melalui kawasan terowong.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini menyertai sesi pengujian liputan selular di jajaran ECRL Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dengan Terminal Bersepadu Gombak, Selangor.

Menurut kenyataan MCMC, lawatan kerja itu bertujuan meneliti status semasa liputan rangkaian 4G dan 5G serta kemajuan pelaksanaan penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi di sepanjang laluan berkenaan.

“MCMC menekankan kepentingan pengalaman ketersambungan yang konsisten di dalam tren ketika bergerak, termasuk semasa melalui terowong, serta di stesen.

“Keutamaan ini merangkumi kestabilan panggilan suara dan sambungan Internet untuk menyokong keperluan komunikasi penumpang sepanjang perjalanan,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan, berdasarkan penilaian yang dilaksanakan bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi, beberapa seksyen jajaran ECRL telah dikenal pasti untuk usaha penambahbaikan liputan rangkaian sebagai persediaan menghadapi pengoperasian rasmi projek berkenaan.

Bagi menyokong keperluan telekomunikasi sepanjang laluan ECRL, Maxis Berhad telah dilantik oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai *Single Preferred Infrastructure Provider and Telecommunications Partner* bagi projek tersebut.

Pelantikan itu merupakan sebahagian daripada usaha menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang dapat menyokong keperluan pengguna sepanjang jajaran rel berkenaan.

MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan kerja penambahbaikan bagi memastikan kualiti perkhidmatan telekomunikasi memenuhi keperluan pengguna menjelang pengoperasian rasmi ECRL.

Usaha tersebut juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketersambungan digital negara, termasuk di sepanjang laluan pengangkutan awam strategik yang dijangka memudahkan pergerakan rakyat dan merangsang aktiviti ekonomi antara Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma bagi membantu menilai prestasi rangkaian telekomunikasi di kawasan masing-masing.

Aplikasi yang boleh didapati melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery itu membolehkan pengguna menjalankan ujian kelajuan Internet serta menyumbang data prestasi rangkaian sebenar.

Data berkenaan dapat membantu usaha pemantauan dan penambahbaikan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di seluruh negara. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat