KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tony Pua menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan audit jejak aliran wang yang masuk ke dalam akaun derma Umno untuk Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Tony Pua, audit jejak kewangan ini wajar dilakukan bagi memastikan semua dana yang dikumpul adalah sah dan bukan hasil penggubahan wang haram.
“Umno mendakwa telah berjaya mengumpul RM50 juta untuk membawa pulang penjenayah terbesar Malaysia Najib Razak bagi menjalani tahanan rumah.
“Daripada menggunakan jumlah wang yang begitu besar untuk membantu rakyat Malaysia biasa, mereka sebaliknya memilih untuk “membebaskan” individu paling korup di Malaysia. Jati diri sebenar Umno terserlah dengan jelas.
“Lebih penting lagi, saya menggesa Bank Negara Malaysia dan SPRM untuk mengaudit jejak aliran wang yang masuk ke dalam akaun derma Umno untuk Najib, bagi memastikan semua dana yang dikumpul adalah sah dan bukan hasil pengubahan wang haram,” gesa pemimpin DAP itu dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Tony Pua mengingatkan, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, atau kepercayaan melihat kembali jati diri sebenar Umno-BN.


