KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini mengumumkan kekal dengan pendirian untuk meletakkan jawatan jika bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah memulakan proses tahanan di rumah selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini.
Anthony berkata beliau difahamkan bahawa benda RM50 juta sudah pun diselesaikan oleh Najib pagi tadi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Walaubagaimanapun, menurut beliau daripada apa yang dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Najib tidak akan dibawa terus ke rumah selepas meninggalkan Kompleks Penjara Kajang sebentar tadi sebaliknya akan menjalani pemeriksaan pergigian terlebih dahulu sebelum ke rumah.
“Datuk Seri Najib dihantar ke klinik pergigian untuk pemeriksaan gigi, maksudnya dia belum lagi dihantar balik ke rumah.
“Namun begitu, pendirian saya tidak berubah, pendirian saya jelas, saya telah pun mengumumkan pada KSU dan pegawai-pegawai kementerian tadi, bahawa sejurus selepas Najib sampai ke rumah dia, maka peletakan jawatan saya berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada beliau sepanjang 47 bulan beliau berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan sejak Disember 2022.
“Saya juga ingin merakamkan setingg-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan di atas komitmen dan kerjasama sepanjang tempoh saya sebagai Menteri Pengangkutan,” katanya.
Anthony berkata pada 28 September yang lalu, beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahan rumah.
“Peletakan jawatan ini mencerminkan pendirian parti saya DAP terhadap keputusan tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib, DAP menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ketika ini, Najib sedang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.


