MELAKA – Calon Pakatan Harapan (PH) Poo Long Suan yang berentap dalam saingan dua penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) N21 Duyong menentang penyandang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem akui pertembungan itu tidak mudah namun beliau akan berusaha keras untuk mendekati pengundi gaya tersendiri.
Long Suan yang mahu dipanggil “Abang Long” akan berjalan kaki 10 kilometer (KM) merentasi DUN Duyong pada Ahad, 8 Nov ini untuk berinteraksi dan mendekati pengundi dalam program “Langkah Abang Long” yang turut disertai Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.
“Saya akan mulakan perjalanan pada jam 7 pagi dan mengajak seberapa ramai peserta bersama menyertai “Langkah Abang Long” untuk bersama menilai sendiri sejauh mana kawasan tersebut mesra pejalan kaki.
“Saya mahu melihat sendiri keadaan laluan yang digunakan penduduk setiap hari, sama ada laluan pejalan kaki bersambung dengan baik, selamat dan selesa digunakan.
“Saya harap pemerhatian sepanjang 10km itu dapat mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik.
“Sebagai seorang ahli perniagaan saya lebih berminat untuk bersemuka dengan penduduk bagi menyelami masalah mereka,” katanya ketika sidang media pada Jumaat.
Tanpa berselindung, Long Suan mengakui pencabarnya Helmy sangat rajin dan terkenal di DUN Duyong namun beliau akan tumpukan usaha memanfaatkan tempoh berkempen untuk menemui rakyat.
“Setakat tempoh berkempen ini saya mendapat reaksi positif daripada pengundi.
“Bila masuk bertanding kita akan usaha sebaik mungkin supaya kita boleh mencatat kemenangan walaupun tough fight.
“Mereka senyum dan bertutur dengan baik ketika berjumpa, ada juga yang kemukakan cadangan dan suarakan harapan untuk tempoh 5 tahun akan datang,” katanya optimis.



