KUALA LUMPUR – Sebanyak 133,081 saman telah dikeluarkan ke atas pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk memandu tanpa lesen yang sah bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan tindakan berkenaan diambil mengikut subseksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] yang memperuntukkan hukuman denda antara RM500 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Menurut kementerian itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 21,232 kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), manakala kesalahan tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) masing-masing mencatat 1,933 dan 85 kes.
“Kesalahan lain yang direkodkan termasuklah lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada insurans, tiada permit masuk atau international circulation permit (ICP) serta kesalahan lebih muatan.
“Kementerian turut menekankan tanggungjawab pemilik kenderaan dan majikan untuk memastikan hanya individu yang mempunyai lesen memandu yang sah dibenarkan memandu kenderaan di jalan raya,” kata kementerian itu menjawab soalan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Soalan itu bertanya tentang kes warga asing memandu kenderaan motor tanpa lesen memandu sah yang direkodkan.
Kementerian itu turut memaklumkan warga asing termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang didapati memandu tanpa lesen sah tidak ditawarkan kompaun, sebaliknya akan didakwa di mahkamah.
“Tindakan sitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta 333 turut dikenakan ke atas pesalah lalu lintas melibatkan warga asing.
“Statistik JPJ merekodkan sebanyak 3,572 kenderaan disita bagi 2025, manakala sebanyak 7,445 kenderaan disita mulai Jan hingga Okt 2026.
“Peruntukan yang sama juga melarang mana-mana pihak daripada mengambil kerja atau membenarkan seseorang yang tidak mempunyai lesen yang sah untuk memandu.
“Tindakan juga boleh diambil terhadap pemilik kenderaan atau majikan yang membenarkan warga asing memandu tanpa kelayakan dan dokumen yang sah,” katanya.


