MELAKA – Prestasi pentadbiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sepanjang tiga tahun lalu bakal menjadi antara faktor penentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 apabila rakyat diberi peluang menilai sendiri pencapaian serta kepimpinan beliau.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengundi Melaka mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang cukup untuk menilai sejauh mana pentadbiran Ab Rauf bersama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berjaya memenuhi harapan mereka.
Menurutnya, sebahagian besar rakyat Melaka dipercayai sudah membuat keputusan mengenai pilihan politik masing-masing sejak beberapa bulan lalu, berdasarkan perkembangan yang berlaku di negeri itu.
“Saya fikir lima bulan dulu rakyat Melaka sudah buat keputusan. Orang Melaka sebenarnya sudah tahu apa mereka nak buat (mengundi).
“Perkara ini ada kaitan dengan rentetan apa yang terjadi dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan dahulu sampai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri program bertemu pengundi dan peniaga bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi, di Pantai Puteri, di sini, semalam.
Turut hadir bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan Datuk Nor Azman Hassan.
Mahdzir yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, rakyat Melaka lebih mengetahui usaha dan gerak kerja yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbiran Ab Rauf.
Justeru, beliau berpandangan pengundi tidak memerlukan pihak luar untuk menentukan penilaian mereka terhadap prestasi kerajaan negeri kerana pengalaman sendiri sudah cukup untuk menjadi asas membuat keputusan.
Katanya, perkembangan politik sejak tujuh hingga lapan bulan lalu turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi dan kecenderungan pengundi menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
Selain itu, kemudahan mendapatkan maklumat menerusi media sosial membolehkan masyarakat mengikuti perkembangan politik semasa, termasuk prestasi pemimpin dan pentadbiran kerajaan negeri.
Mengulas seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat memberikan mandat kepada kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan, Mahdzir menegaskan bahawa keputusan akhir tetap berada di tangan pengundi.
Beliau berkata, pengalaman pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini membuktikan bahawa rakyat mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan kerajaan yang mahu mereka pilih.
Dalam pada itu, Mahdzir turut menegaskan komitmen BN terhadap kerjasama strategik dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Melaka kali ini.
Menurutnya, kerjasama kedua-dua gabungan berkenaan bukan lagi sesuatu yang asing kepada pengundi Melaka dan beliau berharap penyokong masing-masing dapat memberikan sokongan bersama bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding.
“Di Melaka ini, semua sudah tahu bahawa BN memilih PN sebagai rakan strategik. Sudah pastinya kita merayu kepada masyarakat untuk memberikan undi kepada BN dan juga PN.
“Kita juga merayu kepada ahli dan penyokong PN untuk memberikan undi kepada BN,” katanya.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan seramai 79 calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas bertanding merebut 28 kerusi DUN.
BN mempertaruhkan calon di 23 kerusi, manakala PN bertanding di lima kerusi menerusi kerjasama strategik kedua-dua gabungan berkenaan.
Pilihan raya kali ini turut menjadi medan penting untuk menilai sokongan rakyat terhadap kepimpinan Ab Rauf yang mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada Mac 2023, selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN November 2021.
Keputusan pada 14 November ini bakal menentukan sama ada BN mampu mempertahankan penguasaan politiknya di Melaka serta memperoleh mandat baharu untuk meneruskan pentadbiran negeri. – SuaraTV



