Kerjasama media, pempengaruh penting, ketepatan fakta benteng manipulasi digital – Ashwad Ismail

KUALA LUMPUR — Industri media tempatan perlu mengubah pendekatan daripada persaingan kepada kerjasama strategik antara organisasi media arus perdana, pengamal kewartawanan dan pencipta kandungan digital bagi memastikan ekosistem penyiaran kekal relevan dalam era ledakan teknologi.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail berkata, perkembangan media sosial telah mengubah landskap penyampaian maklumat apabila masyarakat kini mempunyai kemampuan menghasilkan dan menyebarkan kandungan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada organisasi media tradisional.

Menurutnya, perubahan itu tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada institusi media sedia ada, sebaliknya perlu dimanfaatkan melalui kerjasama yang menggabungkan kekuatan kewartawanan profesional dengan kreativiti pemain media digital.

“Dalam landskap hari ini, semua orang boleh menjadi media. Apa yang penting adalah perspektif, apa yang berlaku di lapangan, untuk dilihat dan dikenali, serta membina hubungan yang bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam episod sulung program bual bicara Meet Jo-Black Podcast yang dikendalikan Jo-anna Henley Rampas dan Amin Iskandar.

Ashwad berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai institusi penyiaran negara juga perlu terus membuka ruang kepada kerjasama dengan pemain industri baharu termasuk penerbit podcast dan pempengaruh bagi memperluas capaian serta pengaruh kandungan tempatan.

Katanya, pendekatan melibatkan keseluruhan masyarakat penting bagi memastikan industri media bukan sahaja mampu bertahan dari sudut ekonomi, malah terus memainkan peranan dalam membentuk pemikiran dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Sebagai organisasi media pertama Malaysia, persoalannya bagaimana kita bekerjasama dengan organisasi atau entiti media yang terbaharu? Akhir sekali, kita berada dalam era kolaborasi. Setiap pihak perlu diberikan tempat di meja perbincangan dan tiada siapa yang wajar ditinggalkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa cabaran lebih besar yang perlu diberi perhatian industri media ketika ini ialah memastikan kesahihan maklumat terus terpelihara, khususnya berdepan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kandungan manipulasi seperti deepfake.

Ashwad berkata, keghairahan mengejar kepantasan penyampaian berita tidak seharusnya menyebabkan organisasi media mengetepikan proses pengesahan fakta kerana ketepatan merupakan asas utama kredibiliti sesebuah institusi kewartawanan.

“Proses kewartawanan tradisional, ia bukan mengenai kepantasan berkongsi maklumat. Perkara paling utama adalah ketepatan. Terutamanya bagi generasi seterusnya, kita sedang bercakap mengenai Generasi Alpha, anak-anak berusia 10 tahun seperti anak anda,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa lambakan maklumat di platform digital tanpa proses tapisan sewajarnya boleh menjejaskan kefahaman masyarakat, terutama generasi muda yang terdedah kepada pelbagai bentuk kandungan setiap hari.

Sehubungan itu, Ashwad berpandangan media arus perdana perlu memperkukuh hubungan dengan khalayak melalui komunikasi dua hala dan penglibatan lebih aktif di lapangan, bukan sekadar bergantung kepada penyampaian maklumat melalui platform penyiaran.

“Media bukan lagi jalan sehala. Kita mempunyai audiens yang turut mahu menjadi sebahagian daripada perbualan. Perlu ada jalinan hubungan, hubungan emosi, serta komunikasi interpersonal.

“Interaksi manusia dan interaksi sosial itu penting. Sebab itu untuk membina kepercayaan, kita perlu lebih kerap turun ke lapangan dan mengadakan perbualan serta interaksi yang lebih bermakna,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat