Mahkamah Rayuan hanya tolak penangguhan prosiding komital, belum putus isu kesahihan Undang dan Yamtuan – Peguam

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang tidak membenarkan permohonan penangguhan prosiding komital terhadap Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong tidak boleh ditafsirkan sebagai keputusan mahkamah mengenai kesahihan kedudukan mana-mana Yamtuan, Undang atau ahli Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU).

Pasukan peguam yang mewakili pihak berkenaan menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan hari ini hanya melibatkan permohonan interim bagi menangguhkan prosiding komital di Mahkamah Tinggi Seremban, bukannya keputusan terhadap merit rayuan utama atau pertikaian substantif yang masih belum diputuskan.

Menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan lima peguam hari ini, Mahkamah Rayuan hanya mendapati bahawa tiada keadaan khas yang membolehkan penangguhan pendengaran prosiding komital tersebut diberikan.

“Tiada sebarang keputusan oleh Mahkamah Rayuan berkenaan sama ada kebenaran komital yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Seremban sebelum ini adalah teratur menurut undang-undang kerana Mahkamah Rayuan masih belum mendengar dan memutuskan permohonan rayuan utama anak guam kami.

“Mahkamah Rayuan pada hari ini juga tidak langsung mendengar dan/atau memutuskan berkenaan siapa Yamtuan dan/atau Undang yang sah dan/atau siapa ahli DKU yang sah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Awang Armadajaya, Asmawi Ismail, Azam Aziz, Emirul Sarifudin dan Nor Azmi selaku peguam kepada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.

Mereka mewakili YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Thahak, Undang Luak Sungei Ujong; YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad, Undang Luak Jelebu; YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah, Undang Luak Johol; dan YTM Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim Yasin, Undang Luak Rembau.

Turut diwakili ialah YTM Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin dan YAM Dato’ Seri Utama Badarudin Abdul Khalid, Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.

Menurut pasukan peguam itu, permohonan penangguhan yang ditolak merupakan permohonan interlokutori yang difailkan sementara menunggu keputusan rayuan utama berhubung kebenaran Mahkamah Tinggi Seremban untuk meneruskan prosiding komital.

Justeru, mereka menegaskan bahawa keputusan hari ini tidak boleh digunakan untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai kedudukan atau keabsahan institusi adat Negeri Sembilan yang menjadi antara isu dalam pertikaian berkenaan.

“Mana-mana pihak yang cuba mengaitkan keputusan hari ini dengan perkara yang berkenaan adalah salah dan dipetik di luar konteks,” tegas kenyataan itu.

Pasukan peguam tersebut turut menjelaskan bahawa Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang penilaian terhadap isu substantif termasuk bidang kuasa mahkamah, perlindungan perlembagaan, tafsiran perkataan Raja serta keabsahan mana-mana Raja, Undang atau ahli DKU.

Menurut mereka, mahkamah menyatakan bahawa isu-isu tersebut belum didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, justeru tidak boleh dinilai pada peringkat permohonan penangguhan berkenaan.

Dalam masa sama, mereka menegaskan bahawa prosiding komital tersebut masih berada pada peringkat awal dan belum ada keputusan mengenai merit pembelaan pihak yang diwakili.

“Anak guam kami ambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dan tindakan susulan menurut undang-undang akan diambil berikutan keputusan tersebut.

“Kami juga secara profesional turut menyatakan bahawa kes komital ini masih lagi di peringkat awal dan sebarang merit pembelaan dan/atau isu substantif yang menjadi asas tindakan masih belum didengar dan diputuskan oleh mana-mana peringkat mahkamah yang berbidang kuasa,” menurut kenyataan itu.

Prosiding komital secara umumnya merupakan proses mahkamah yang boleh digunakan bagi menangani dakwaan penghinaan mahkamah, termasuk ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah.

Bagaimanapun, kebenaran untuk memulakan prosiding komital tidak dengan sendirinya bermaksud pihak yang dinamakan telah didapati bersalah melakukan penghinaan mahkamah.

Pasukan peguam berkenaan menegaskan bahawa sebarang tindakan lanjut akan dibuat mengikut saluran undang-undang yang tersedia, sementara rayuan utama dan isu-isu berkaitan masih menunggu penelitian serta keputusan mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat