KUALA LUMPUR – ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa pengurusan Media Mulia Sdn Bhd mengkaji semula rancangan penamatan perkhidmatan hampir 100 pengamal media dan kakitangan sokongan Utusan Malaysia serta Kosmo! yang dikhuatiri kehilangan pekerjaan menjelang sambutan Aidilfitri tahun depan.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, sebarang langkah pengecilan tenaga kerja perlu dilaksanakan dengan penuh ihsan dan mengambil kira kebajikan pekerja, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Menurut beliau, pelaksanaan Program Cuti Berbayar (Garden Leave) selama tiga bulan bermula 11 November ini menimbulkan kebimbangan kerana pekerja terbabit berisiko berdepan penamatan perkhidmatan tetap selepas tempoh berkenaan.
“Tindakan menguatkuasakan Program Cuti Berbayar selama tiga bulan yang akhirnya berisiko mengheret kepada pemberhentian tetap menjelang ketibaan sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan satu tamparan hebat kepada kebajikan para pekerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Harris turut menggesa pihak pengurusan Media Mulia, termasuk entiti pemegang saham seperti Aurora Mulia Sdn Bhd dan Opulence Global Asia Sdn Bhd, mencari pendekatan alternatif bagi menangani cabaran perniagaan tanpa mengorbankan mata pencarian kakitangan.
Beliau menegaskan bahawa proses rasionalisasi korporat tidak seharusnya menjadikan pekerja sebagai pihak yang terpaksa menanggung sepenuhnya kesan penyusunan semula operasi syarikat.
Dalam perkembangan sama, ARMADA turut memuji tindakan Kementerian Komunikasi di bawah kepimpinan Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, yang mengambil langkah proaktif membantu industri media tempatan menghadapi cabaran transformasi digital.
Menurut Harris, pengenalan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang dijadual bermula Januari 2027 merupakan antara inisiatif penting kerajaan bagi membantu syarikat media menyesuaikan operasi dengan perubahan landskap industri.
“Keprihatinan ini membuktikan komitmen jitu pihak kementerian dalam menyokong proses transformasi digital syarikat media tempatan sekali gus berusaha sedaya upaya menyelamatkan kelangsungan kerjaya para wartawan tanah air,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak pengurusan tertinggi Media Mulia membuka ruang rundingan segera dengan wakil pekerja bagi mencari penyelesaian yang lebih adil dan memastikan sebarang langkah penyusunan semula mematuhi undang-undang buruh.
Katanya, rundingan secara telus amat penting bagi memastikan kebajikan pekerja tidak diketepikan dalam usaha syarikat mengatasi cabaran kewangan dan perubahan industri.
Terdahulu, Media Mulia dilaporkan melaksanakan program rasionalisasi operasi yang melibatkan hampir 100 pekerja Utusan Malaysia dan Kosmo!, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan dua penerbitan berpengaruh dalam sejarah kewartawanan negara itu.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang menyuarakan solidariti terhadap pekerja terlibat dan menggesa pihak pengurusan mengutamakan rundingan sebelum melaksanakan sebarang pemberhentian.
Utusan Malaysia yang mempunyai sejarah panjang sebagai antara akhbar utama masyarakat Melayu pernah menghentikan penerbitannya pada Oktober 2019 sebelum diterbitkan semula di bawah pengurusan Media Mulia pada Julai 2020.
Kemungkinan pemberhentian pekerja kali ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kelangsungan industri akhbar cetak serta keperluan mencari model perniagaan baharu yang mampu menjamin masa depan organisasi media tanpa mengorbankan kebajikan wartawan dan kakitangannya. – SuaraTV


