PKR desak Ketua Menteri Melaka umum status terkini 55 projek pembangunan negeri

AYER KEROH – Rakyat negeri Melaya ada hak untuk tahu kemajuan 55 projek pembangunan negeri yang didakwa masih belum dimulakan kira-kira 17 bulan yang lalu sebelum kerajaan negeri memohon rakyat memilih mereka sekali lagi untuk mentadbir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kali ini

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy dalam satu kenyataan berkata, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mesti menjelaskan status terkini semua projek berkenaan sama ada sudah bermula, siap atau masih tertangguh.

Katanya, tanda tanya itu mesiti dijelaskan secara terbuka memandangkan angka itu diumumkan sendiri oleh beliau ketika memaklumkan perkembangan keseluruhan 241 projek pembangunan negeri.

“Daripada 241 projek pembangunan negeri ketika itu, sebanyak 86 projek telah siap, 100 sedang dilaksanakan, manakala 55 projek masih belum bermula.

“Ini bermakna hampir satu daripada empat projek pembangunan negeri belum dimulakan ketika itu.

“Lebih membimbangkan, sehingga 31 Mei 2025, hanya RM19.52 juta atau 22.18 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan negeri berjumlah RM88 juta telah dibelanjakan,” katanya menurut kenyataan itu.

Sivamalar berkata selepas 17 bulan berlalu, kerajaan negeri sepatutnya sudah ada perkembangan terbaharu yang boleh dimaklumkan kepada rakyat dan bukannya membiarkan ia tidak terjawab.

“Di sebalik angka ini mungkin terdapat kemudahan awam yang dinantikan penduduk, infrastruktur yang diperlukan masyarakat dan pembangunan yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Melaka.

“Rakyat tidak hidup dengan angka dalam laporan semata-mata. Mereka mahu melihat hasil pembangunan yang benar-benar dapat dinikmati,” katanya.

Sivamalar juga mengakui pelaksanaan projek pembangunan boleh berdepan pelbagai kekangan termasuk urusan perolehan, kelulusan teknikal, isu tanah, masalah kontraktor dan kelewatan penyaluran peruntukan.

Namun kekangan pentadbiran tidak seharusnya dijadikan alasan berpanjangan tanpa penjelasan serta tindakan penyelesaian yang jelas daripada pihak kerajaan negeri.

Sivamalar juga menggesa kerajaan negeri menerbitkan senarai lengkap 55 projek berkenaan dengan memperincikan lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana, jadual asal, status terkini dan sasaran penyiapan bagi projek yang masih berbaki.

Kerajaan negeri juga perlu menjelaskan kedudukan peruntukan yang diluluskan, jumlah dana disalurkan serta perbelanjaan sebenar supaya rakyat dapat menilai prestasi pelaksanaan berdasarkan fakta.

“Jika projek-projek tersebut sudah siap, tunjukkan hasilnya kepada rakyat. Jika masih tertangguh, jelaskan puncanya dan bentangkan pelan penyelesaiannya.

“Ini bukan soal mencari kesalahan semata-mata. Ini soal kebertanggungjawaban dalam mengurus wang rakyat dan memastikan setiap peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” ujarnya.

Tambah beliau, rakyat Melaka berhak menilai prestasi kerajaan negeri berdasarkan pencapaian sebenar, bukannya sekadar pengumuman projek, angka peruntukan atau janji politik menjelang pilihan raya.

“Mandat lima tahun bukan lesen untuk mengelak daripada menjawab prestasi pentadbiran sebelumnya. Sebelum BN meminta kepercayaan rakyat untuk lima tahun lagi, pentadbiran Ab Rauf perlu membuktikan rekod pencapaiannya secara terbuka,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat